AGROBANK TOLAK PENYALAHGUNAAN IDENTITI DALAM VIDEO SOLIDARITI PALESTIN
AGROBANK TOLAK PENYALAHGUNAAN IDENTITI DALAM VIDEO SOLIDARITI PALESTIN
KUALA LUMPUR – Agrobank menegaskan pihaknya tidak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam penyertaan bot yang dipaparkan dalam video tular berkaitan program Pelayaran Solidariti Kelantan yang dikatakan menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Agrobank memaklumkan bahawa bot berkenaan sebenarnya digunakan untuk inisiatif promosi bank itu sebelum ini, namun penyertaannya dalam acara solidariti terbabit dilakukan tanpa pengetahuan pihak bank.
“Walaupun kami menghargai semangat solidariti terhadap rakyat Gaza, video yang tular itu telah menimbulkan kekeliruan dan disalah tafsir oleh orang ramai. Kami kesal dengan tindakan segelintir pihak yang memuat naik kandungan mengelirukan sehingga menjejaskan imej korporat bank,” katanya.
Menurut Agrobank, sebagai institusi perbankan Islam, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip syariah yang menolak penyebaran maklumat tidak benar serta menggalakkan komunikasi beretika berlandaskan nilai kejujuran.
“Video yang disebarkan itu tidak mencerminkan pendirian, nilai atau identiti sebenar Agrobank,” tegas kenyataan itu.

Agrobank turut menyeru orang ramai agar berhati-hati ketika berkongsi sebarang kandungan di media sosial yang boleh mengelirukan atau disalah tafsir, terutama apabila melibatkan nama dan logo institusi.
Dalam masa sama, bank itu menggesa individu atau pihak yang telah memuat naik video tersebut supaya menurunkannya segera bagi mengelakkan kekeliruan terhadap imej korporat Agrobank.
“Agrobank akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan nama, logo dan identiti korporat bank tidak disalahgunakan dalam sebarang konteks yang boleh menjejaskan reputasi institusi serta menimbulkan salah faham awam,” katanya lagi.
Agrobank dalam kenyataan itu turut menegaskan pihaknya sentiasa menyokong usaha kemanusiaan dan solidariti terhadap Palestin, namun berharap ia dilakukan secara berhemah tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.-SAHIH