Peneroka syukur RM2.4 bilion untuk FELDA, RISDA, FELCRA
Peneroka syukur RM2.4 bilion untuk FELDA, RISDA, FELCRA
JERANTUT – Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan sebanyak RM2.4 bilion kepada FELDA, RISDA dan FELCRA dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan semalam.
Menurutnya, peruntukan besar itu memberi manfaat kepada kira-kira 720,000 peneroka, pekebun kecil dan keluarga mereka di seluruh negara, sekali gus memastikan kebajikan serta perlindungan komuniti peneroka terus terpelihara.
“Belanjawan 2026 ini membuktikan komitmen kerajaan Madani dalam memperkukuh kesejahteraan warga peneroka. Ia juga memberi keyakinan bahawa suara peneroka masih didengari dan dihargai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razak berkata, langkah itu akan memperkukuhkan kedudukan ekonomi masyarakat peneroka serta menjamin masa depan generasi Felda dalam arus pembangunan negara.
Beliau turut berharap kerajaan dapat memberi perhatian terhadap harga komoditi sawit yang menjadi sumber pendapatan utama peneroka di seluruh tanah rancangan.
“Sekarang harga sawit berada sekitar RM800 hingga RM900 satu tan metrik, namun kami berharap ia dapat meningkat kepada RM1,500 hingga RM2,000 bagi membantu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Menurutnya, peningkatan harga sawit bukan sahaja memberi kelegaan kepada peneroka tetapi juga mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi luar bandar.

Razak menegaskan, peneroka amat menghargai perhatian kerajaan terhadap isu kebajikan dan pembangunan komuniti Felda yang sekian lama menjadi nadi kepada ekonomi luar bandar negara.
“Langkah ini menunjukkan kerajaan serius menjaga kebajikan peneroka, dan kami di peringkat akar umbi akan terus menyokong usaha memperkasa agenda pembangunan Felda,” katanya.-SAHIH