Zaridah tubuh CSP lepas ayah, kakak hidap kanser
Zaridah tubuh CSP lepas ayah, kakak hidap kanser
KUANTAN – Pengalaman adalah guru paling dekat dalam membentuk diri kita.
Itu perkongsian Pengerusi dan Pengasas Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Pahang (CSP), Zaridah Hashim.
Dia yang mempelopori penubuhan CSP pada Ogos 2020, mengakui ia adalah disebabkan pengalaman mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser.
“Ayah saya menghidap kanser tulang manakala kakak pula kanser payu dara.
“Daripada situ saya melihat pesakit kanser tidak memiliki sistem sokongan yang mereka perlukan, jadi saya fikir perlu buat sesuatu… dan di situ saya dan beberapa rakan yang juga menghidap kanser menubuhkan CSP,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Seiring Sejalan 2.0 anjuran CSP, di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah.
Zaridah memberitahu, CSP menyediakan sistem sokongan kepada ahli mereka bagi menghilangkan rasa seolah-olah bersendirian semasa berdepan penyakit kanser.
“Penghidap kanser ini perlukan perhatian dan jangan biarkan mereka rasa seperti dipinggirkan.
“Melalui CSP, kita sediakan khidmat nasihat bukan sahaja kepada penghidap kanser, tetapi juga kepada penjaga atau ahli keluarga mereka,” jelasnya.
Dia memaklumkan setakat ini, CSP mempunyai 200 ahli berdaftar di seluruh Pahang.
“Dalam masa yang sama, kita turut mempunyai jalinan kerjasama dengan persatuan dari negeri lain,” tambahnya.

Zaridah Hashim – Pengerusi dan Pengasas Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Pahang (CSP)
Dia juga mempelawa pesakit kanser untuk menyertai CSP atau mana-mana pertubuhan berkaitan bagi memudahkan mereka mendapat maklumat serta bantuan sewajarnya.
“Kita di CSP ingin membawa mesej dan menyedarkan masyarakat bahawa pesakit kanser perlu lebih bersemangat dalam berdepan ujian kesihatan itu.
“Mungkin ramai yang tidak tahu ke mana mereka perlu pergi untuk mendapat sistem sokongan apabila disahkan menghidap kanser, jadi kami di CSP sedia membantu,” ujarnya lagi.-SAHIH