Bilangan ganti Mykad bertambah untuk akses bantuan
Bilangan ganti Mykad bertambah untuk akses bantuan
Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan berlaku peningkatan permohonan penggantian MyKad sejak pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias, berkata trend berkenaan dipercayai berlaku kerana sebahagian pemohon mula sedar cip MyKad rosak dan boleh menjejaskan akses kepada bantuan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, penggantian MyKad tidak hanya dibuat untuk tujuan permohonan SARA, sebaliknya turut membabitkan faktor lain termasuk kerosakan, kehilangan atau akibat bencana.
“Sejak pengumuman SARA Julai lalu sehingga sekarang, terdapat peningkatan kira-kira 20 peratus bagi permohonan penggantian MyKad.
“Secara purata kita terima lebih 190,000 permohonan sebulan, dengan jumlah 220,000 pada Julai dan meningkat kepada 230,000 bulan lalu. Angka ini membabitkan keseluruhan penggantian MyKad, bukan hanya membabitkan masalah cip,” lapor Berita Harian, hari ini.
Badrul Hisham berkata, keadaan itu juga menunjukkan ada pemohon sebelum ini tidak menghadapi masalah kerana jarang menggunakan cip MyKad untuk urusan rasmi.
Namun, beliau berkata, apabila SARA dilaksanakan, mereka mula menyedari kepentingan cip MyKad yang berfungsi untuk memastikan akses kepada bantuan berjalan lancar.