Masjid Al-Hasanah Cemerlang Hasil Usaha Koperasi Kariah
Masjid Al-Hasanah Cemerlang Hasil Usaha Koperasi Kariah
SELANGOR – Peranan Koperasi Kariah Masjid dalam memperkasakan institusi masjid dan komuniti setempat terus menyerlah apabila Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi dinobatkan sebagai Masjid Terbaik Negeri Selangor 2024.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha Koperasi Masjid Al-Hasanah menjadi contoh terbaik bagaimana masjid boleh digerakkan sebagai pusat pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam.
“Sumbangan koperasi ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan dan menjana ekonomi komuniti, tetapi turut menyokong kelangsungan kewangan masjid secara menyeluruh.
“Inisiatif ini wajar dicontohi oleh koperasi masjid lain di seluruh negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival 25 Tahun Jubli Perak Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi di sini, semalam.
Majlis disempurnakan oleh Y.D.H. Dato’ Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Dato’ Rosli Othman yang turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pentadbiran masjid atas kecemerlangan yang dicapai.
Menurutnya, peranan koperasi masjid menjadikan institusi itu bukan sahaja pusat rohani, malah pemacu kepada kesejahteraan dan kebajikan komuniti.
“Kejayaan ini hasil kerjasama erat jawatankuasa, pengurusan dan kakitangan masjid yang menjadikan masjid sebagai mercu tanda kemakmuran ummah,” katanya.
Karnival bertemakan Masjid Makmur, Iman Subur itu berlangsung dari 24 hingga 27 Julai dengan pelbagai pengisian seperti pameran produk, perkhidmatan, persembahan kebudayaan dan jualan amal.
Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, S.S. Datuk Haji Mohd Shahzihan Ahmad; Nazir Masjid Al-Hasanah, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Bangi, Tuan Syahredzan Johan.-SAHIH