Ketua Polis Daerah Jerantut meninggal dunia akibat serangan jantung
Foto : Ketua Polis Daerah Jerantut, Allahyarham Superintendan Zukri Muhammad meninggal dunia petang tadi akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Jerantut meninggal dunia akibat serangan jantung
JERANTUT – Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan seorang pegawai kanan berdedikasi apabila Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad meninggal dunia petang tadi akibat serangan jantung.
Allahyarham, yang berusia 59 tahun, seorang duda dan meninggalkan seorang anak perempuan, Nurul Afiqah Zukri yang berkhidmat sebagai guru, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di No. 13, Lorong 2/12, Taman Saujana Utama, Jerantut, pada jam 3.00 petang ini.
Allahyarham, telah berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Jerantut dan dikenali sebagai seorang pegawai yang tegas namun mesra rakyat.
Pengurusan jenazah diuruskan oleh Cawangan Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dan disempurnakan di Surau An-Nur, Perumahan PDRM Sungai Jan, di sini.
Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas solat Maghrib di Tanah Perkuburan Islam Felda Krau, Raub dan bantuan kenderaan jenazah disediakan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, manakala Tabung Kebajikan Sosial (TKSS) Pahang turut menyumbang bantuan kematian sebanyak RM10,000, termasuk pendahuluan RM3,000 bagi pengurusan awal.
Kematian Allahyarham mencatatkan statistik kelima bagi warga PDRM Kontinjen Pahang tahun ini, dengan pecahan satu Pegawai Kanan Polis (PKP), tiga Pegawai Rendah Polis (PRP), dan satu Pegawai Awam.
Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.-SAHIH.
