‘Pak Andak’ mulakan kempen G7 di Jerantut
‘Pak Andak’ mulakan kempen G7 di Jerantut
JERANTUT – Dikenali mesra sebagai Pak Andak, Razak Daud yang menawarkan diri sebagai calon nombor 5 bagi pemilihan G7 UMNO Bahagian Jerantut, memulakan kempen secara rasmi hari ini dengan menyantuni ahli di beberapa kampung sekitar daerah ini.
Kempen beliau dimulakan di Kampung Pasir Durian dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan sebelum diteruskan ke DUN Damak, bagi memperkenalkan visi serta komitmen dalam membawa suara akar umbi ke pentas Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
“Saya turun padang bertemu sendiri dengan perwakilan untuk berkongsi aspirasi dan mendengar pandangan mereka secara langsung.
“Sokongan kepada calon nombor 5 bukan sekadar undi, tetapi amanah untuk membawa suara Jerantut ke peringkat nasional,” katanya ketika dihubungi SAHIH.
![]()
Razak yang juga dikenali sebagai tokoh masyarakat aktif berkata, pendekatan bersemuka itu penting bagi memastikan perwakilan membuat pilihan tepat dalam memilih 14 wakil (G7) yang benar-benar mewakili kehendak akar umbi.
Katanya, kempen bukan sekadar meraih undi, tetapi juga ruang mempererat silaturahim dan membina keyakinan dalam kalangan ahli terhadap barisan kepimpinan bahagian.
“Saya akan galas mandat ini dengan penuh tanggungjawab jika diberi peluang. Insya-Allah, suara Jerantut akan didengar dan diperjuangkan sebaik mungkin,” katanya.
![]()
Pemilihan calon G7 UMNO Bahagian Jerantut akan diadakan pada 13 Julai ini bagi menentukan 14 wakil ke Perhimpunan Agung UMNO di WTC KL.-SAHIH
