“Kubur Lama Terancam Lenyap Dibawa Arus”
“Kubur Lama Terancam Lenyap Dibawa Arus”
JERANTUT – Kira-kira 40 buah kubur lama di sebuah tanah perkuburan Kampung Gintong, Jerantut yang berusia lebih 100 tahun dipercayai sudah lenyap dibawa arus akibat hakisan teruk sejak lebih tiga dekad lalu.
Tinjauan sahih.com.my mendapati, jarak antara tebing sungai dan kubur sedia ada kini hanya tinggal sekitar 50 kaki, malah keadaan semakin membimbangkan kerana sebahagian laluan utama penduduk kampung turut berada dalam zon risiko hakisan.
JPKK , Shahrul Nizam Harun, 46, berkata fenomena hakisan tebing itu berlaku setiap tahun terutamanya ketika musim tengkujuh sehingga menyebabkan banyak kubur lama hilang tanpa jejak.
“Seingat saya, sejak 1986 saya darjah satu lagi sudah lihat tebing ini runtuh. Paling teruk tahun 2014, sampai paras tanah kubur habis dibawa arus. Pokok besar seperti pokok hutan antaranya pokok ara pun habis dibawa arus Sungai Pahang .
“Kita bimbang sangat, sebab sekarang tinggal beberapa kaki saja lagi sebelum tanah perkuburan sedia ada ni pula terhakis,” katanya ketika ditemui di Kampung Gintong, Jerantut .
Menurutnya, selain ancaman terhadap tanah perkuburan, laluan belakang yang menjadi penghubung utama kampung itu juga berisiko hilang sepenuhnya jika tindakan segera tidak diambil.
Seorang lagi penduduk, Razak Daud, 64, berkata hakisan turut menjejaskan waris yang masih menziarahi kubur ahli keluarga masing-masing di kawasan itu.
“Mak ayah saya pun dikebumikan di sini. Kita memang risau, kalau dibiarkan, kubur belakang ni pula hilang. Kita minta ada usaha tambak dan bina benteng sepanjang kira-kira 1,000 meter bagi selamatkan kawasan ni,” katanya.
Zulkifli Mahmud, 58, pula berkata jenis tanah berpasir dan arus deras menyebabkan hakisan berlaku lebih cepat, malah tidak perlu tunggu banjir untuk merosakkan struktur tanah di tebing.
“Kita harap ada tindakan segera. Tambak ni kena buat betul-betul kukuh… kalau tidak, 10 atau 15 tahun akan datang mungkin semuanya akan hilang terus ke dalam sungai,” katanya penuh harapan.