LETUPAN PAIP GAS ASLI CEDERAKAN 52 ORANG
Berita Kemalangan
LETUPAN PAIP GAS ASLI CEDERAKAN 52 ORANG
BANGKOK: Letupan sebuah saluran paip gas asli di Samut Prakan, tenggara bandar ini mengakibatkan tiga orang terbunuh manakala 52 orang cedera, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.55 tengah hari (waktu tempatan), saluran paip gas asli yang dikendalikan syarikat milik PTT Public Company Limited (PTT) mengalami kebocoran dan terbakar.Gambar hiasan
Menurut laporan Bangkok Post, susulan letupan itu, sekurang-kurangnya empat rumah rosak teruk dan enam rumah mengalami kerosakan di bumbung.
Gabenor Wilayah Samut Prakan, Wanchai Kongkasem, berkata sekurang-kurangnya 30 keluarga terjejas akibat insiden itu dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti punca kejadian letupan itu.
“Mangsa mengalami kecederaan melecur dan dikejarkan ke hospital berdekatan dan pusat pemindahan dibuka untuk membantu mangsa,” katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian.
Beliau berkata, PTT menutup saluran paip itu dan kawasan itu kini selamat.
Sementara itu, jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan pihak berkuasa segera melakukan pemeriksaan dan menyiasat punca kejadian serta menghulurkan bantuan kepada mangsa.
Sumber : BERNAMA