792 Penduduk Kampung Kuala Tembeling Tarik Nafas Lega, Terpilih Sebagai Kampung Angkat MADANI
792 Penduduk Kampung Kuala Tembeling Tarik Nafas Lega, Terpilih Sebagai Kampung Angkat MADANI
JERANTUT – Seramai 792 penduduk Kampung Kuala Tembeling menarik nafas lega apabila kampung mereka diumumkan sebagai salah sebuah Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Perpaduan Negara, sekali gus menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM1 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Tembeling, Baharim Abu Samah, 70, berkata pelaksanaan 11 projek pembangunan di bawah inisiatif itu mampu mengubah wajah kampung serta memberi keselesaan kepada penduduk.
“Antara projek terawal yang akan dilaksanakan ialah kerja-kerja membina balai masak baharu dan menyelenggara masjid dengan kos RM200,000. Selain itu, projek lain termasuk naik taraf jalan, pemasangan lampu solar, baik pulih sekolah dan surau, serta pembinaan tandas awam dan gelanggang sukan,” katanya.
Majlis pelancaran program telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi, sebagai simbol komitmen kerajaan dalam memacu pembangunan masyarakat luar bandar secara inklusif dan mampan.
Turut hadir dalam Majlis tersebut Amira Abdullah, Pengarah jabatan perpaduan Negara & integrasi Nasional negeri Pahang.
Baharim berkata, selain bergantung kepada hasil pertanian dan pekerjaan tidak tetap, penduduk kampung juga terlibat dalam aktiviti penternakan ikan sangkar seperti ikan patin dan tilapia, serta menangkap ikan air tawar seperti ikan kenerak.
“Ramai dalam kalangan penduduk di sini masih belum memiliki rumah sendiri. Kami telah memohon bantuan perumahan melalui saluran rasmi dan berharap ia turut diberi perhatian,” katanya.
Kampung Kuala Tembeling merupakan antara 43 kampung yang telah menerima manfaat daripada pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI. Tahun ini, kerajaan mensasarkan 200 kampung akan turut terlibat dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM200 juta.-SAHIH