Kerajaan Pahang Sasar 100% Selesai Isu Geran Felda Tahun Ini
Kerajaan Pahang Sasar 100% Selesai Isu Geran Felda Tahun Ini
BERA – Kerajaan Negeri Pahang komited untuk menyelesaikan 100 peratus isu pemilikan geran tanah peneroka Felda di seluruh negeri ini dalam tahun 2025, termasuk membabitkan wilayah Kuantan yang tertangguh.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam, sasaran itu adalah sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh kerajaan negeri dalam memastikan hak milik tanah diagihkan sepenuhnya kepada para peneroka dan generasi kedua Felda.
“Ini bukan janji kosong. Kita benar-benar sasarkan 100 peratus penyelesaian tahun ini. Kita tidak mahu ada lagi peneroka yang menunggu sehingga 30 atau 40 tahun untuk menerima hak milik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Geran Hak Milik kepada 195 peneroka Felda Triang 3 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir sama ialah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Ahli Parlimen Bera(mantan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA.
Menurutnya, kejayaan penyerahan geran di Felda Triang 3 membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menyelesaikan isu yang sudah berlarutan sejak lebih tiga dekad.
Tambahnya lagi, antara cabaran utama dalam proses pengeluaran geran adalah isu teknikal seperti kegagalan mendaftarkan nama isteri dan hal pewarisan yang tidak dikemaskini.
“Kita telah rangka satu pelan tindakan khusus. Insya-Allah, semua isu ini akan diselesaikan tahun ini,” jelas beliau.
Datuk Amizar turut memaklumkan sebanyak 16,035 lot untuk generasi kedua Felda telah dikenal pasti dan akan dibawa ke peringkat kementerian untuk tindakan lanjut bersama Felda dan Kerajaan Persekutuan.
“Kita akan pastikan semua pihak yang layak akan menerima hak mereka, tidak kira di mana mereka berada, sama ada dalam rancangan Felda atau di luar kawasan,” katanya – SAHIH