SAMUN BERANI MATI DI FELDA JENGKA 8, TIGA LELAKI LARIKAN KERETA MANGSA
SAMUN BERANI MATI DI FELDA JENGKA 8, TIGA LELAKI LARIKAN KERETA MANGSA
MARAN – Tiga lelaki bertopeng dan bersenjata bertindak berani menyamun sebuah rumah di Felda Jengka 8 malam tadi, sebelum melarikan diri menaiki kereta milik mangsa ke arah Jerantut.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, suspek yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai menceroboh kediaman mangsa di Felda Jengka 8, sebelum mengugut dan melarikan sebuah kenderaan jenis Proton Saga FLX berwarna coklat bernombor pendaftaran CDM7243.
Supt Wong Kim Wai, Ketua Polis Daerah Maran. dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihak polis telah menggerakkan hebahan kepada semua balai polis dalam Daerah Maran sejurus menerima maklumat berkenaan kejadian itu.
“RCJ setiap balai telah diarahkan membuat rondaan dan pemantauan rapi di sekitar kawasan serta melaporkan kepada Pusat Kawalan Daerah (Gerakan) sekiranya terdapat perkembangan baharu,” katanya.
Menurutnya lagi, Sekatan Jalan Raya (SJR) turut didirikan di hadapan Balai Polis Pekan Awah selain hebahan turut dibuat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dan IPD Temerloh bagi memperluaskan pemantauan.
Setakat ini, usaha mengesan ketiga-tiga suspek dan kenderaan yang dilarikan masih giat dijalankan.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Polis memberi jaminan bahawa keselamatan penduduk sekitar akan terus dipantau dan dikawal rapi.-SAHIH