UPSI Raih Anugerah Pilihan Majikan 2025 Bagi Dua Program Teras
Foto : Dr. Sharul Effendy Janudin menerima anugerah daripada wakil PayNet sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; dan Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho sempena Majlis Anugerah Employers’ Choice Talentbank 2025 yang berlangsung di EQ Kuala Lumpur
UPSI Raih Anugerah Pilihan Majikan 2025 Bagi Dua Program Teras
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, terus mengukir kecemerlangan dalam dunia pendidikan tinggi apabila dua program terasnya, iaitu Pengiklanan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, menerima Employers’ Choice Award 2025 daripada Talentbank melalui penarafan rasmi dalam Talentbank’s National Graduate Employability Index (GE Index) 2025 baru-baru ini.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata bahawa pengiktirafan ini adalah hasil kejayaan universiti dalam melahirkan graduan yang mempunyai tahap kebolehpasaran tinggi, selaras dengan keperluan industri masa kini.

Dari kiri; Dr. Siti Shuhaida Shukor, Dr. Abdul Halim Masnan, Dr. Sharul Effendy serta Dr. Nor Hazlen Kamaruddin selepas menerima Anugerah Employers’ Choice.
“Penarafan kebolehpasaran graduan menjadi rujukan penting kepada lepasan sekolah dan ibu bapa dalam memilih institusi pengajian tinggi yang menjanjikan masa depan kerjaya yang cerah.
“GE Index memberi penekanan kepada program pengajian yang selari dengan kehendak industri, bagi memastikan pelajar menerima nilai tambah sebenar daripada pengajian mereka,” katanya.
Menurut beliau, UPSI antara institusi yang mempunyai rekod cemerlang dalam melahirkan graduan sedia kerja (job-ready graduates).
“Kedua-dua program UPSI ini menerima penarafan tertinggi enam bintang, menjadikannya antara program yang paling diyakini oleh pihak industri dari aspek kebolehan, daya tahan dan kesediaan profesional.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa UPSI kekal sebagai pilihan utama dalam membentuk graduan berkemahiran tinggi, bersahsiah dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta industri,” tambah beliau.
Katanya, selain meningkatkan reputasi UPSI di peringkat nasional dan antarabangsa, penilaian ini juga telah membina keyakinan dalam kalangan majikan, pelajar serta ibu bapa terhadap keupayaan institusi tersebut. Kejayaan alumni UPSI yang mencipta impak dalam pelbagai sektor turut memperkukuh kepercayaan terhadap kebolehan universiti tersebut.
Majlis penganugerahan tersebut telah berlangsung Kuala Lumpur beru-baru ini, bersempena sambutan ulang tahun ke-15 Talentbank dan Rumah Terbuka Hari Raya.
Turut hadir ialah Pengarah EDGE, Profesor Madya Dr. Sharul Effendy Janudin; Timbalan Pengarah EDGE, Dr. Siti Shuhaida Shukor; Wakil Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan; serta Penyelaras Program Reka Bentuk (Pengiklanan), Dr. Nor Hazlen Kamaruddin.
Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan hanya melahirkan bakal pendidik, malah juga graduan berwibawa dan diyakini oleh industri, menjadikan UPSI sebagai pilihan strategik dalam landskap pendidikan negara.-SAHIH.