Dato’ Rofaie Hamdan Ucap Tahniah Kepada Calon SPM Temerloh
Dato’ Rofaie Hamdan Ucap Tahniah Kepada Calon SPM Temerloh
TEMERLOH – Ketua BERSATU Bahagian Temerloh, Dato’ Rofaie Hamdan merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah ini atas kejayaan yang diraih dalam keputusan peperiksaan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pencapaian yang diperoleh para pelajar bukan sahaja membanggakan keluarga dan sekolah, malah menjadi penanda aras penting dalam membina masa depan negara.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon SPM di Temerloh atas pencapaian anda. Semoga ianya menjadi pembakar semangat untuk terus cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan akan datang,” katanya.
Beliau turut berharap kejayaan itu akan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berusaha lebih gigih dalam mengejar impian dan mencapai kecemerlangan pada peringkat lebih tinggi.
Dalam masa sama, Dato’ Rofaie mengingatkan para pelajar agar tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya terus menetapkan matlamat baru dan berusaha mencapainya dengan penuh dedikasi.
“Pendidikan merupakan kunci kepada masa depan yang lebih gemilang. Jangan berhenti di sini. Jadikan kejayaan ini sebagai langkah pertama untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” ujarnya.
Kenyataan itu turut disertai dengan gambar Dato’ Rofaie bersama pelajar-pelajar yang kelihatan ceria meraikan keputusan SPM masing-masing.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para guru dan ibu bapa yang tidak jemu memberikan sokongan dan bimbingan kepada para pelajar sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
“Pengorbanan guru dan ibu bapa adalah faktor penting di sebalik kejayaan anak-anak kita. Terima kasih atas segala usaha yang telah dicurahkan,” katanya lagi.-SAHIH