Lelaki warga emas dikhuatiri lemas ketika menjala ikan di Jeram Besu
Lelaki warga emas dikhuatiri lemas ketika menjala ikan di Jeram Besu
RAUB – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas ketika dipercayai sedang menjala ikan di Sungai Pusat Rekreasi Jeram Besu, Sega di sini semalam.
Mangsa, Mat Salleh bin Junoh, 63, yang bekerja sebagai penoreh getah, disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata, kehilangan mangsa disedari anak bongsunya, Saiful Naim, 18, selepas bangun tidur pada jam 7.20 pagi dan mendapati bapanya serta kereta Toyota Ananza milik keluarga tiada di rumah.
“Setelah seharian menunggu, pengadu keluar mencari dan menemui kenderaan milik bapanya di kawasan tempat letak kereta Pusat Rekreasi Jeram Besu. Namun, bapanya tidak berada di dalam kenderaan mahupun di sekitar kawasan tersebut.
“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dong. Hasil siasatan awal turut mendapati terdapat saksi yang melihat mangsa sedang menjala ikan di kawasan sungai itu pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bermula jam 8 pagi semalam melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung.
“Pencarian meliputi kawasan sejauh 3.5 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat namun masih belum membuahkan hasil. Proses pencarian masih diteruskan,” ujar Mohd Shahril.
Menurut beliau, tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang operasi dan pasukan SAR akan meneruskan usaha pencarian sehingga mangsa ditemui.-SAHIH