Warga Emas Maut Lemas di Pantai Sepat
Warga Emas Maut Lemas di Pantai Sepat
PEKAN – Seorang lelaki warga emas ditemukan maut akibat lemas berhampiran Menara B, Pantai Sepat, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Nasir bin Nurdin, 67, dari Tanah Putih Baru, Kuantan dipercayai lemas ketika berada di pesisir pantai berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pekan, Kapten (PA) Ahmad Azmi bin Hj Nafiah berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sebelum anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 6.38 petang dan terus menjalankan pencarian mangsa.
Tidak lama selepas itu, mangsa berjaya ditemukan dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, ambulans dari Hospital Kuantan tiba di lokasi kira-kira jam 7.20 malam dan pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 7.30 malam.
“Jenazah kemudiannya dibawa ke unit forensik hospital untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya.
Operasi menyelamat yang disertai enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lapan anggota polis dan empat kakitangan perubatan hospital ditamatkan pada jam 8.20 malam.
Sementara itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan ketika berada di kawasan pantai, -SAHIH