Kanak-kanak Jatuh Keluar Tingkap Kereta, Cedera di Muka
Kanak-kanak Jatuh Keluar Tingkap Kereta, Cedera di Muka
LIPIS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di muka selepas dipercayai terjatuh keluar dari tingkap sebuah kereta yang sedang berhenti di KM5 Jalan Lipis–Merapoh, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika kanak-kanak terbabit berada dalam kenderaan bersama bapanya yang berusia 36 tahun, dalam perjalanan dari sebuah kedai hardware di Tempoyang menuju ke Simpang Tempoyang untuk membuat pusingan U.
“Selepas membuat pusingan U, lelaki itu berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon. Siasatan awal mendapati, tingkap belakang kenderaan jenis Proton Saga itu dipercayai terbuka di sebelah kiri semasa kejadian,” katanya.
Menurutnya, selepas meneruskan perjalanan, lelaki berkenaan hanya menyedari anaknya tiada di dalam kenderaan sebaik tiba di KM7. Dia kemudian berpatah balik dan cuba mencari anaknya namun gagal sebelum tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis.
Dalam masa sama, orang awam yang melalui jalan tersebut menemui kanak-kanak berkenaan dalam keadaan cedera di muka dan berseorangan di tepi jalan.
Mereka segera membawa mangsa ke Balai Polis Padang Tengku sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Padang Tengku untuk rawatan awal.
“Pemandu terbabit dimaklumkan mengenai keberadaan anaknya dan seterusnya mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan akibat perbuatan cuai.
Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa memandu dengan berhemah dan memastikan keselamatan penumpang, terutamanya kanak-kanak, diberi perhatian sewajarnya,” katanya.