AL-SULTAN ABDULLAH DUKACITA MASIH ADA PIHAK BERANI CETUS POLEMIK 3R
AL-SULTAN ABDULLAH DUKACITA
MASIH ADA PIHAK BERANI CETUS POLEMIK 3R
JERANTUT – Perpaduan dan keharmonian negara tidak seharusnya dikorbankan demi kepentingan peribadi, namun masih ada pihak yang berani mencetuskan polemik berkaitan agama, kaum, dan raja (3R) tanpa rasa tanggungjawab.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan segelintir pihak yang mempermainkan agama Islam serta menggunakan isu sensitif demi kepentingan tertentu.
Paduka Baginda bertitah, tindakan seperti itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menggugat keharmonian negara yang telah sekian lama dipelihara.
“Beta amat sedih apabila masih ada yang tanpa rasa bersalah mempergunakan Islam sebagai alat untuk meraih sokongan dan kepentingan peribadi. Ini bukan perkara baharu, tetapi sehingga hari ini masih ada yang berani bermain api dengan mempolitikkan agama,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Abdul Rahman Auf bernilai RM1.8 juta di Kampung Durian Hijau, sempena majlis berbuka puasa di sini, hari ini.
Berangkat sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Paduka Anakanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan setempat.
Dalam majlis itu, Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 100 asnaf dari Kampung Durian Hijau dan kawasan sekitar.
Paduka Baginda turut mengingatkan agar rakyat tidak mudah terpedaya dengan golongan yang gemar mencetuskan perpecahan menggunakan isu 3R, sebaliknya terus berpegang teguh kepada nilai perpaduan dan keharmonian.
“Jangan jadi badut politik yang menggunakan agama dan perkauman untuk mengelirukan rakyat. Negara ini telah lama hidup dalam aman damai kerana sikap toleransi dan hormat-menghormati. Jangan sesekali kita biarkan pihak tertentu merosakkan keharmonian ini,” titah Paduka Baginda.
Baginda juga menekankan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan perlu terus dipertahankan dengan penuh kebijaksanaan, dan rakyat perlu memainkan peranan dalam menjaga kesucian agama tanpa mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
Majlis perasmian masjid itu menjadi simbol kesatuan dan keharmonian rakyat, sejajar dengan peranan rumah ibadah sebagai pusat penyatuan ummah.-SAHIH