Pelajar tak kisah masuk IPT bawa karung guni ganti beg
Pelajar tak kisah masuk IPT bawa karung guni ganti beg
KUALA LUMPUR – Kisah Rafida Zaiddin dari Sandakan yang mendaftar di Universiti Malaysia Sabah, di Kota Kinabalu dengan membawa karung guni sebagai bagasi cukup menyentuh hati Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Katanya, situasi itu menunjukkan kecekalan dan kuatnya semangat Rafida untuk menyambung pengajian walaupun dalam keadaan serba kekurangan,
Serentak itu beliau mengarahkan pengurusan UMS dan UiTM Sabah untuk segera mengenal pasti pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi memastikan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan.
“No student should be left behind,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan kebajikan pelajar terjaga sepanjang pengajian mereka.
“Bagi anak-anak siswa yang bakal mendaftar di IPTA dan IPTS seluruh negara, saya juga ingin mengingatkan supaya jangan ragu dan segan untuk menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing sekiranya memerlukan sebarang bantuan.
“Pelbagai bantuan kementerian sediakan mengikut keperluan anak-anak semua. Tinggal kenal pasti dan mohon. Insya Allah ada penyelesaiannya.
“Teruskan semangat menuntut ilmu, percayalah usaha dan pengorbanan ini akan membuahkan hasil. Selamat maju jaya dalam pengajian.
“Kami di KPT sedia membantu,” ujarnya. – MalaysiaGazette- SAHIH