Masak 24 kawah bubur Asyura simbolik muafakat peneroka Jengka 24
Masak 24 kawah bubur Asyura simbolik muafakat peneroka Jengka 24
JERANTUT – Semangat dan kerjasama warga peneroka FELDA Jengka 24, dekat sini, sangat mengagumkan.
Tidak kira generasi pertama dan generasi kedua, setiap perancangan untuk program di situ, mendapat sambutan luar biasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan(JKKR) FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, program tahunan itu adalah bagi merapatkan hubungan antara warga peneroka di tanah rancangan berkenaan.
“Kami bergotong-royong sejak semalam untuk memasang khemah dan membuat persiapan setiap gerai yang mewakili blok di FELDA Jengka 24.
“Sebelah malam pula, semua turun padang melakukan kerja menyiapkan bahan-bahan untuk memasak bubur Asyura.
“Semangat kekeluargaan dalam kalangan penduduk di sini memang diakui sangat menakjubkan,” katanya.
Program memasak bubur Asyura itu diadakan di perkarangan Masjid Assobirin, dekat sini.
Razak memberitahu, proses memasak bubur Asyura bermula sejak awal jam 7 pagi dan siap sepenuhnya menjelang lewat tengah hari.
“Sebanyak 24 kawah bubur Asyura dimasak untuk program tahun ini.
“Jumlah itu adalah simbolik kepada nama FELDA kami… FELDA Jengka 24 dan kebetulan hari ini juga 24 Muharam.
“Saya dan semua ahli jawatankuasa berharap program hari ini mendapat keberkatan.
“Apatah lagi, hari ini juga hari Ulang Tahun Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.
Dia memaklumkan lebih 500 warga peneroka FELDA Jengka 24 menyertai program berkenaan.
Selain diagihkan kepada penduduk di situ, bubur Asyura yang siap dimasak turut diedarkan kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan tanah rancangan berkenaan. – sahih