Air Sungai Tembeling mula cetek.
Air Sungai Tembeling mula cetek.
JERANTUT – Air Sungai Tembeling semakin cetak serta beberapa kawasan mula muncul beting pasir kira-kira 50 hingga 80 meter panjang ekoran musim kemarau di kawasan Ulu Tembeling, di sini, hari ini.
Musim panas mula berlaku sejak minggu lalu turut menjejaskan urusan harian penduduk terutamanya bagi nelayan sungai dan penduduk yang menggunakan bot penambang.
Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rashid, 46, berkata, mulai bulan Jun hingga September setiap tahun paras air Sungai Tembeling mula cetek kerana tiada hujan di kawasan ulu sungai mungkin faktor fenomena La Nino.
“Keadaan cuaca panas mengakibatkan air Sungai Tembeling semakin cepat menjadi cetek memberi kesan aktiviti harian penduduk tinggal di pesisir sungai di Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Bantal Seberang, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling.
“Apabila keadaan kawasan sungai mula timbul beting pasir berdekatan tebing di pesisir kampung ini menyukarkan bot bergerak dan aktiviti penangkapan ikan turut terjejas.
“Sekiranya musim kemarau berterusan, keadaan Sungai Tembeling akan surut turut menjejaskan penduduk yang mengusaha penternakan ikan sangkar di sini,” katanya.
Seorang nelayan sungai Kampung Pagi, Adenan Nipah, 69, berkata, sehingga ini kebanyakan penduduk yang mencari rezeki menangkap ikan sudah berdepan kekurangan hasil tangkapan kerana di beberapa tempat di sungai ini mulai cetek.
“Ikan liar mula tertumpu di habitat seperti lubuk dan bawah batu kerana tidak tidak dapat bergerak akibat sungai cetek, manakala ikan patin, ikan lawang, ikan jengkua dan ikan liar lain mencari makanan di kawasan hilir sungai jauh dari sini.
“Kita berdoa fenomena musim panas ini akan berakhir kerana air sungai ini turut menjadi sumber air penduduk setempat dan juga daerah ini, ” katanya.-SAHIH.