KAJI SEMULA PENUTUPAN TAMAN NEGARA
Berita Nasional
KAJI SEMULA PENUTUPAN TAMAN NEGARA
BENTONG : Kerajaan negeri meminta kerajaan Persekutuan mengkaji semula arahan penutupan Taman Negara Negeri Pahang bagi membolehkan 333 pengusaha utama eko pelancongan di lokasi tersebut, kembali beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri yang juga Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ini kerana negeri Pahang khususnya Taman Negara bukan berada di bawah zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
“Kita akan berhubung dengan kerajaan Persekutuan bagi mengemukakan bantahan arahan tersebut. Sepatutnya hanya tak benarkan orang yang dari zon merah atau PKPD. Pelancong setempat dan dalam negeri atau zon hijau, tiada masalah.
“Kita juga ada terima satu memorandum dari sebuah persatuan yang memohon agar mereka dapat beroperasi semula dalam tempoh kira-kira sebulan lebih ini sebelum terpaksa ditutup pada Disember ini, kerana monsun.
“Kita tidak ada kena mengena dengan PKPD sebab kita di zon hijau. Jadi kenapa kena tutup. Saya difahamkan ada hotel yang kerugian ribuan ringgit sebab pelancong batalkan tempahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik (SATJB) Dan Projek Eko Pelancongan Berasaskan Komuniti Kampung Janda Baik, Bentong di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudataan Negeri Pahang (Motac), Datuk Idros Yahya.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman dilaporkan berkata, arahan penutupan itu menyebabkan pengusaha pelancongan di kawasan berkenaan hilang mata pencarian dan menjejaskan pendapatan kerajaan serta penduduk.
Beliau yang mewakili Persatuan Pengusaha Pelancongan Kuala Tahan berkata, 333 daripada pemain utama industri pelancongan di Taman Negara itu terdiri daripada 170 pemandu pelancong, 78 pengusaha bot di Sungai Tahan, 30 pengusaha bot di Sungai Tembeling, 17 agensi pelancongan dan 38 pengusaha penginapan.
Jumlah itu katanya, tidak termasuk pengusaha sokongan lain seperti pengusaha penyajian makanan, pembekal, peruncit dan lain-lain sektor yang bergantung harap kepada bidang pelancongan sebagai sumber pendapatan utama mereka.
Sumber: Sinar Harian