Pertemuan bermakna Amizar, Ahmad di Putrajaya
Pertemuan bermakna Amizar, Ahmad di Putrajaya
KUANTAN – Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam melakukan kunjungan hormat dan pertemuan bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan di Putrajaya, hari ini.
Pertemuan itu antara lain membincangkan permasalahan membabitkan jalan raya di sekitar Pelangai dan daerah Bentong.
Amizar selaku ADUN Pelangai berkata, dalam pertemuan itu, beberapa perkara berbangkit dibincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.
“Antara yang diberikan fokus adalah mengenai beberapa jalan raya di bawah kawal selia kerajaan Pusat.
“Ada antaranya perlu diambil tindakan segera serta diuruskan dengan lebih sempurna,” katanya melalui satu hantaran di Facebook miliknya.
Amizar turut optimis segala permasalahan dibangkitkan dalam pertemuan bersama ahli parlimen Pontian itu dapat diselesaikan dengan berhemah secara bersama.
“Insya-Allah… beberapa isu boleh diselesaikan,” katanya lagi.
Dalam kunjungan itu juga, Amizar sempat beramah mesra bersama pelajar sekolah dari Pontian, Johor yang kebetulan mengadakan lawatan ke pejabat Ahmad. – SAHIH