Manifesto Ikhtiar Pelangai dilancarkan
Manifesto Ikhtiar Pelangai dilancarkan
BENTONG – Calon Barisan Nasional (BN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam melancarkan manifesto khusus untuk pengundi dewan undangan negeri (DUN) itu, beberapa jam sebelum tempoh berkempen berakhir.
Manifesto ‘Ikhtiar Pelangai’ merangkumi empat perkara itu adalah tekad Amizar untuk pengundi di kawasan berkenaan jika dipilih sebagai wakil rakyat.
Fokus utama manifesto itu adalah pembangunan, pendidikan, kebajikan dan ekonomi.
“Mungkin ada pihak-pihak lain juga ada menawarkan seperti saya tawarkan ini.
“Namun, saya ingin tegaskan bahawa semua ikhtiar ini dapat direalisasikan jika tuan-tuan dan puan-puan memberikan peluang kepada parti yang memimpin kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebagai wakil di DUN Pelangai.
“Berilah saya peluang untuk membuktikan kemampuan saya dalam menjadi wakil rakyat di DUN Pelangai,” katanya melalui siaran di laman sosial Facebook miliknya, petang tadi.
Untuk sektor pembangunan, Amizar menawarkan kemudahan jalan raya baru menghubungkan antara Karak ke Simpang Pelangai.
Selain itu, pembukaan stesen minyak di Simpang Pelangai, bank serta mewujudkan rumah PR1MA Pahang antara pecahan dalam teras pembangunan dalam manifesto itu.
Bagi sektor pendidikan pula, Amizar mahu memastikan pembabitan lebih ramai anak muda dalam program TVET, menaiktaraf kemudahan perpustakaan serta pendidikan Orang Asli.
Manakala untuk kebajikan pula, Amizar menawarkan bantuan kepada orang ramai bagi tujuan pendidikan untuk semua peringkat serta pusat hemodialisis serta klinik kesihatan swasta.
Dalam sektor ekonomi pula, Amizar berhasrat untuk menjadikan Pelangai sebagai ‘gateway’ kepada Pahang bagi pintu masuk Pahang-Negeri Sembilan.
Selain itu, beliau juga berhasrat mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan serta memakmurkan lagi kegiatan ekonomi setempat.
“Saya juga bertekad untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dalam bidang pelancongan ataupun ‘agrotourism’ untuk menambah pendapatan penduduk.
“Melalui usaha dirancang ini, saya juga ingin merancakkan pemasaran produk tempatan dan juga hasil kampung,” katanya lagi.- SAHIH