Kerajaan Pahang beri perhatian isu tanah, kediaman FELDA
Kerajaan Pahang beri perhatian isu tanah, kediaman FELDA
BENTONG – Isu tanah serta kediaman untuk generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mendapat perhatian kerajaan negeri yang mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi isu itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, warga peneroka termasuk generasi baharu FELDA adalah sebahagian daripada yang telah memberi sumbangan kepada pembangunan sosial serta ekonomi negeri ini.
Menurutnya, bagi pengurusan hak milik peneroka, kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan sebanyak 95 peratus daripada 43,126 orang peneroka FELDA seluruh Pahang yang telah pun menerima suratan hak milik mereka.
“Lima peratus lagi akan menyusul kemudian kerana ada isu teknikal, ada waris tak tanda tangan… ada kematian.
“Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta untuk menyiapkan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA
(PGBF) yang terbengkalai di Pahang.
“Kita mendapat aduan pembeli-pembeli termasuk di kawasan FELDA saya, jadi kerajaan negeri ada sedikit wang hasil yang diperolehi lebih RM1 bilion tahun lepas, kita gunakan untuk memperbaiki rumah terbengkalai dan kini ia hampir siap,” katanya ketika berucap sempena Karnival Segalanya FELDA di FELDA Chemomoi dekat Pelangai, hari ini.
Karnival itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.- SAHIH