UMNO bakal sekat arus gelombang hijau di Pelangai
UMNO bakal sekat arus gelombang hijau di Pelangai
Foto atas : Haris (tengah) memotong kek sempena Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan Felda Padang Piol di Balairaya Felda Padang Piol, hari ini.
JERANTUT – Umno Bahagian Jerantut dan Maran akan memastikan gelombang hijau tidak sewenang-wenang menembusi kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang bakal diadakan pada 7 Oktober ini.
Ketua Umno Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, Umno bahagiannya dan Maran diamanahkan sebagai Bahagian Angkat bagi Pusat Daerah mengundi (PDM) kawasan Felda Kemasul.
Katanya, gelombang hijau hanya sebagai permainan presepsi yang dimainkan melalui media kononnya menggambarkan kekuatan pihak pembangkang, Perikatan Nasional (PN).
“Kita tidak boleh menafikan mainan presepsi boleh memberi kesan positif kepada pihak kepada mereka.
“Namun, kesungguhan dan iltizam yang dilakukan Menteri Besar Pahang melalui keprihatinan beliau telah meluncurkan skim Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang disumbangkan kepada rakyat negeri ini seawal kelahiran sehingga di usia warga emas telah mendapat sambutan baik warga negeri ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan Felda Padang Piol di Balairaya Felda Padang Piol, hari ini.
Katanya, sumbangan BPP sebagai salah satu faktor yang diharapkan untuk menjadi teras kepada sokongan rakyat.
“Kita bukan menjual presepsi malah kita adalah parti yang menjaga kebajikan rakyat dan direalisasikan.
“Persediaan awal telah dibuat termasuk penyelarasan bersama kepimpinan masyarakat setempat dan cawangan UMNO Felda Kemasul dalam usaha memperkasakan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRK Pelangai kali ini,” katanya.
Haris berkata, melihat corak keluar mengundi yang agak rendah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, jentera pilihan raya akan memastikan pengundi akan keluar awal beramai-ramai.
“Oleh yang demikian, jentera parti sedaya upaya mengenalpasti pengundi terutama pengundi putih dan mengharap agar mereka ini keluar mengundi bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN),” katanya.-SAHIH.