Azolla pinnata berpotensi ganti makanan ayam?
Azolla pinnata berpotensi ganti makanan ayam?
AZOLLA merupakan tumbuhan pakis akuatik dari keluarga Salviniaceae yang dikenali sebagai kiambang, lumut dan nyamuk pakis.
Azolla yang berwarna hijau mempunyai struktur rizom bercabang-cabang dengan keluasan diameter pada 0.5-7 sentimeter (cm) iaitu terdiri daripada daun-daun kecil (1 milimeter panjang) yang bertindih dan dahan tersusun rapat serta akar terapung di dalam air.
Akar itu mempunyai peranan menyerap nutrien secara langsung dalam permukaan air.
Kandungan protein yang tinggi dalam Azolla menjadikannya sebagai sumber protein alternatif untuk makanan haiwan ternakan seperti ayam, itik, burung puyuh, udang, kuda dan arnab di sampimg ternakan ikan air tawar seperti ikan keli, tilapia merah, kaloi dan patin.
Beberapa negara yang menggunakan Azolla sebagai makanan alternatif bagi haiwan ternakan ialah Malaysia, India dan Indonesia.
Antara spesies Azolla yang lazim digunakan untuk makanan haiwan adalah A. pinnata. Ia digunakan sebagai makanan ternakan dalam pelbagai jenis iaitu basah, kering, serbuk dan pelet.
Penggunaan Azolla sebagai sumber protein dalam makanan ayam pedaging berjaya meningkatkan berat badan ternakan itu tanpa kesan negatif terhadap penghadaman nutrien.
Bukan itu sahaja, pengeluaran telur dan kualiti daging turut dapat ditingkatkan.
Selain itu, ikan talapia Nil juga menunjukkan kadar pertumbahan, kemandirian dan kadar penukaran makanan yang tinggi dengan pemberian Azolla yang ditapai sebagai sumber makanan.
Manakala, kandungan minyak ikan yang diekstrak daripada ikan patin yang diberikan Azolla didapati lebih berkualiti kerana mempunyai jumlah asid lebih rendah.
Di samping itu, Azolla juga digunakan sebagai baja hijau untuk tanaman sawah padi di Asia dan Afrika kerana kaya dengan kandungan fosforus dan nitrogen.
Langkah itu sekali gus dapat menjimatkan penggunaan baja urea sebanyak 50 kg/ha sehingga 100 kg/ha.
Kelebihan Azolla adalah ia cepat membiak dan senang ditanam petani tempatan kerana kos yang sangat rendah.
Selain itu, ia juga tidak bersaing dengan sumber makanan manusia, keperluan tanah yang rendah dan dapat menggantikan makanan ternakan komersial.-SAHIH.