Pasar Jawa Klang perlu imej baharu
Pasar Jawa Klang perlu imej baharu
KLANG – Tiba sambutan perayaan khususnya hari raya Aidilfitri, Pasar Jawa menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan barangan seperti pakaian dan juga kuih muih moden dan tradisional sejak awal 1980an.
Seorang peniaga, Mohd Salleh Masran (50), keluarganya telah berniaga di situ sejak 50 tahun lalu dan bangunan Pasar Jawa menjadi satu tempat yang begitu ikonik di bandar ini pada tahun-tahun tersebut.
“Saya mengambil alih perniagaan keluarga dan meneruskan legasi perniagaan kuih muih tradisonal seperti pelbagai jenis kerepek, kuih tradisional dan moden khusus untuk sambutan perayaan.
“Pada masa itu, tempat ini ramai pengunjung datang untuk mendapatkan pakaian seperti baju Melayu, baju kurung, songkok, kain sampin dan pelbagai keperluan lain,” katanya ketika ditemui di situ.
Katanya, ketika itu hanya Pasar Jawa sahaja yang ada selain pasar raya berdekatan menyebabkan tempat ini menjadi tumpuan.
“Kini, bangunan Pasar Jawa di sini mula ‘dihimpit’ dengan bangunan masjid dan juga stesen MRT yang dibangunkan di situ menyebabkan landskap agak berubah, namun, kehadiran pengunjung masih ramai menjelang sambutan hari raya,” katanya.
Seorang peniaga di situ, Lizawati Shukur telah berniaga di situ hampir 20 tahun dengan menjual kerepek dan kuih muih tradisonal.
“Pengunjung yang datang ke sini bukan dari daerah Klang sahaja, sebaliknya datang dari Shah Alam, Kuala Selangor, Banting dan kawasan berdekatan untuk berbelanja di sini.
“Sejak pembangunan pesat di sekeliling Pasar Jawa, kehadiran pengunjung agak kurang kerana mungkin banyak kompleks membeli belah muncul bagai cendawan di sekitar kawasan ini,” katanya.
Katanya, dia tetap bersyukur perniagaan berjalan seperti biasa dan disokong dengan bekalan kuih muih dan kerepek daripada pembekal yang menghantarnya ke sini.
Seorang penduduk Klang, Khairul Nordin (50) berkata, sudah lama dia tidak ke Pasar Jawa , barangan yang dijual seperti baju Melayu berkualiti dengan harga yang berpatutan.
“Mungkin kurang pengunjung ke sana (Pasar Jawa) mungkin keadaan suram, pihak berkaitan perlu memberi wajah baru terhadap bangunan ini untuk menaikkan seri untuk menarik orang ramai datang membeli.
“Selain itu mungkin adanya Pasar Malam Jalan Taiping yang beroperasi menjelang raya menyebabkan bangunan Pasar Raya Bagai dilupakan,” katanya.
Katanya, diharap pihak berkaitan memberi wajah baharu serta infrasturuktur yang bagus dengan pengudaraan yang menyenangkan pengunjung untuk memeriahkan bangunan itu seperti pada awal 1980an.-SAHIH.