TANJAK PAHANG
TANJAK PAHANG
Tanjak, tengkolok atau destar merupakan salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat Melayu.
Seorang guru muda, Cikgu Muhammad Syaraff Alwi, 29, berasal dari Pekan Pahang yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Karak, Bentong, merupakan seorang pengarang atau tukang tanjak generasi muda khususnya tanjak Pahang.
CIkgu Muhammad Syaraff kini giat mempelajari dan mengkaji berkaitan tanjak-tanjak negeri Pahang yang diwarisi kemahiran dan kepakaran moyangnya iaitu Orang Besar Raja Negeri Pahang, Allahyarham Tok Panglima Dalam Haji Abu Bakar bin Mohd Taib yang merupakan pengarang tanjak diraja.
Gelaran itu lebih tepat dikenali oleh orang tempatan (Pekan) dengan panggilan tukang ikat tanjak semasa zaman Almarhum Sultan Sir Abu Bakar dan ilmu itu diwarisi keluarganya turun temurun kepada anak-anaknya dan salah seorangnya Cikgu Mohamad, berusia lebih 70-an yang menetap di Pekan, Pahang.
Lebih menarik, ilmu itu turut diwarisi pula kepada generasi seterus iaitu kepada Cikgu Syaraff merupakan cucu kepada Cikgu Mohamad, kini menunjukkan minat yang mendalam sejak dari kecil lagi.
Kata Cikgu Syaraff, Tanjak Pahang mempunyai 5 tanjak asas iaitu Sunda Menggamit, Lang Menyusur Angin atau Lang Menyonsong Angin, Sekelonsong Bunga, Raja Bersiram dan Bugis Tak Balik.
Jika dahulu Almarhum Baginda Sultan Sir Abu Bakar mengenakan tanjak Sekelonsong Bunga sebagai pakaian Hulu Di Raja, namun pada zaman sekarang Tanjak Lang Menyonsong Angin banyak digunakan dalam adat-istiadat di raja.
Menurutnya, pemakaian tanjak berbeza bagi setiap orang mengikut statusnya. Bagi Ke Bawah Duli Sultan dan bakal Sultan (waris ganti baginda) iaitu Tengku Mahkota, hujung daun tanjak dipakai tegak antara dua mata diikuti dikeluarkan pucuk atau sula tanjak.
Manakala bagi orang kebanyakan hujung daun tanjak disengetkan ke kiri iaitu dipakai di atas mata kiri.
Katanya, pada masa kini, pemakaian tanjak semakin popular dengan pelbagai cara ikatan dan warnai, tapi kurang menekankan pemakaian tanjak dengan betul, bahkan reka bentuk atau karangan tanjak Pahang masa kini telah mengalami perubahan yang mengubah bentuk asalnya.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana keaslian bentuknya akan pupus begitu sahaja dan tidak mahu tanjak negeri kelahirannya itu pupus ditelan zaman.