SK Pulau Indah guna teknologi dalam kelas
SK Pulau Indah guna teknologi dalam kelas
Foto atas : Murid mengikuti kelas dengan kemudahan yang dilengkapi dengan penggunaan android TV.
PELABUHAN KLANG – Sekolah Kebangsaan Pulau Indah (SKPI), Sekolah Amanah Malaysia, Jalan Dato’ Haron, Pelabuhan Klang, menggunakan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran untuk menarik murid supaya lebih fokus.
Guru Besar SKPI, Hazi Kadir, berkata hasil perbincangan awal antara dia dan Mohd Haffiz, idea asal itu cuba dimurnikan dengan menggunakan dana PIBG terlebih dahulu bagi mendapatkan lima unit TV pintar android bersaiz 50 inci.
Menurutnya, rentetan daripada itu selepas mendapatkan persetujuan Majlis Tertinggi PIBG SKPI, penggunaan TV berkenaan diutamakan kepada murid tahun tiga dan enam yang berkongsi kelas untuk mempraktikkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran bermula November 2020.
Jelas beliau, daripada jaringan kerjasama, PIBG berjaya menarik Westport Malaysia yang sama-sama ingin menyumbang kepada pembangunan pendidikan SKPI dan bersetuju menambahkan lima lagi TV berkenaan yang menjadikan jumlah pada masa itu kepada 10 unit.
Tambahnya, android TV dipilih bagi memudahkan guru dan murid mengakses terus sumber pengajaran dan pembelajaran kepada dunia maya apabila pelbagai sumber dan bahan pembelajaran boleh didapati dengan mudah.
“Murid yang sudah terdedah dengan pembelajaran maya pada waktu perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19, manakala guru menyediakan diri dengan pengajaran menggunakan video secara langsung melalui platform Youtube dan Google Meet bersama murid membabitkan keseluruhan subjek pengajaran di SKPI.
“Hasil maklum balas daripada murid mendapati sangat teruja dengan kemudahan yang dilengkapi pihak sekolah ini dan mereka sendiri lebih arif serta kehadapan dengan penggunaan android TV dalam kehidupan khusus pembelajaran,” katanya.
Menurutnya, langkah itu dikongsi pula lagi oleh pihak Sekolah Amanah dalam Jaringan Sekolah Amanah Malaysia sehingga nama SKPI terkenal kerana berjaya merealisasikan idea pendidikan digital melalui penggunaan android TV di dalam kelas.
Jelas beliau, perkembangan itu menarik perhatian syarikat pembekal makanan kucing, Magna Nova yang beroperasi di Pulau Indah tampil memberi kerjasama untuk bersama memacu pembangunan pendidikan SKPI apabila menaja 10 unit lagi android TV.
Hazi berkata, menjelang penghujung tahun 2021, jumlah android Tv di SKPI telah mencecah 30 unit dengan semua kelas membabitkan murid dari Prasekolah sehingga Tahun Enam dapat menggunakan kemudahahan itu termasuk bilik khas seperti makmal sains, surau, bilik rehat guru dan terkini pejabat sekolah.
Menurutnya, guru SKPI menyifatkan kemudahan TV itu amat membantu menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran menyeronokkan serta membolehkan mereka membawa murid menyelami dunia pendidikan tanpa sempadan dan mengaplikasikan maklumat di hujung jari.
“Amat membanggakan apabila kemudahan internet dipertingkat kelajuannya oleh pihak Westport Malaysia dalam usaha membantu SKPI khusus murid mencari sumber pelajaran menerusi alam maya tanpa sebarang gangguan,” katanya.