19 Geng Ngaji teruja jejak kaki di Royal Belum
19 Geng Ngaji teruja jejak kaki di Royal Belum
Foto atas : Alias Ahmad (tengah) melakukan gimik penyerahan sumbangan kepada Jamri.
Sembilan belas ahli Geng Ngaji Ustaz, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor teruja apabila buat julung kali dapat memijak tanah di perkampungan Orang Asli Suku Jahai di Kampung Klewang, Royal Belum, Gerik, Perak, baru-baru ini.
Perasaan mereka juga tersentuh apabila melihat masyarakat Orang Asli di perkampungan itu amat menghargai serta menyanjung tinggi bantuan yang diterima hasil sumbangan atau infak pelbagai pihak luar.
Seperti kata Tok Batin perkampungan itu, Jamri Gebis, masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan sentiasa diingatkan untuk bersikap terbuka, berlapang dada menerima kunjungan orang luar yang datang memberi sumbangan di samping melihat kehidupan sebenar mereka di situ.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu, berkata orang bandar yang datang disambut penuh hormat dengan hati terbuka tanpa membezakan apa bangsa sekali pun terutama apabila kunjungan mereka itu membawa buah tangan.
“Kerana itu saya sentiasa berpesan kepada anak buah untuk bersangka baik dengan kunjungan orang bandar, lemparkan senyuman walaupun kali pertama bertemu dan hulur tangan untuk bersalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kedatangan ahli Geng Ngaji Ustaz BTHO yang mengunjungi perkampungan berkenaan dalam program ekspedisi mereka selama tiga hari dua malam di Royal Belum.
Menurut Jamri ketika bercerita mengenai perkampungan berkenaan kepada ahli geng terbabit, sebelum itu mereka menetap di Kampung Aman Damai dan terpaksa berpindah ke Kampung Klewang akibat banjir besar pada 2014.
Jelasnya, dia bersama kira-kira 150 penduduk Suku Jahai daripada 40 keluarga terpaksa akur arahan itu demi keselamatan dan ketika pandemik Covid-19 melanda negara lebih dua tahun lalu mereka semua selamat serta tidak terkena jangkitan wabak itu.
“Selepas pandemik ini beransur pulih pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) khususnya tidak berhenti menghulurkan bantuan seperti bakul makanan, mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan selain disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sekarang ini kami sudah dapat menjalani rutin hidup seperti biasa, boleh keluar memburu dan ke pekan berdekatan untuk mendapatkan keperluan harian,” katanya sambil menerangkan penggunaan sumpit untuk memburu binatang buas serta racun dari getah pokok ipuh.
Ketua ekspedisi Geng Ngaji Ustaz, BTHO, Alias Ahmad, berkata pada peringkat awal mereka merancang ke Royal Belum bagi beriadah iaitu memancing sambil mengadakan kelas mengaji di atas ‘Boathouse’ keluar dari lokasi biasa yang selalu diadakan di dalam kelas.
Menurutnya, apabila cadangan itu diuar-uarkan kepada ahli terus mendapat sambutan luar jangkaan dan sebahagian besar mengesyorkan supaya diadakan juga aktiviti menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan dan memilih untuk mengunjungi perkampungan Orang Asli Suku Jahai berkenaan.
Jelasnya, dalam tempoh dua minggu ahli geng berkenaan mengumpul pelbagai barangan makanan asas kering seperti beras, gula, tepung, sardin dan kari ayam dalam tin, susu pekat manis, bihun, biskut, roti, tuala pelekat wanita, pampers, mi segera, pakaian terpakai dan sebagainya.
Barangan makanan asas kering dan pakaian terpakai itu adalah infak pelbagai pihak untuk NGO seperti Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Nur Hasanah, Al Fikrah Malaysia, Yayasan Bunga Raya bagi disalurkan kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuklah sumbangan individu prihatin serta ahli Geng Ngaji sendiri.
Alias berkata, ekspedisi itu juga secara tidak langsung mengukuhkan ukhwah antara ahli Geng Ngaji al-Quran sedia ada dengan sahabat baharu terutama mereka yang menyertai kelas mengaji dan secara tidak langsung menyuburkan kecintaan terhadap al-Quran walaupun di mana sahaja aktiviti dijalankan.
Tambahnya, riadah dengan aktiviti yang bermanfaat menelusuri sungai di tengah-tengah alam semula jadi dan kehijauan flora fauna melihat kebesaran Allah SWT dan kita hamba-Nya mengakui bahawa tidak Allah SWT jadikan hutan hijau dan tasik yang besar ini sia-sia, melainkan ada manfaat kepada hamba-Nya.
“Di samping program halaqah saya turut mengadakan tazkirah ringkas selepas solat subuh berjemaah sepanjang ekspedisi ini dan setiap kali masuk waktu solat ahli yang bertugas sebagai bilal akan mengalukan azan di atas ‘Boathouse’ ini mengheningkan suasana berada di Royal Belum,” katanya.