PH bagi laluan kepada BN di Tioman
PH bagi laluan kepada BN di Tioman
PARTI AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju memberi laluan kepada calon BN untuk pilihan raya kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tioman.
Setiausaha Agung AMANAH Dr Mohd Hatta Ramli berkata langkah itu diambil sebagai menunjukkan kesepakatan kerajaan negeri Pahang dan Putrajaya.
“Bagi memenangkan calon mewakili ‘Kerajaan Perpaduan’ ini, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN dalam pilihan raya itu,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan itu juga Mohd Hatta berkata AMANAH memandang PRK Pulau Tioman pada 7 Disember ini sebagai pertembungan di antara kerajaan baru Pahang dengan kelompok ekstremis kaum dan agama.
“Atas semangat itulah AMANAH melihat ada keperluan mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN).
“Justeru, AMANAH yang juga sebahagian daripada parti komponen PH mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN bagi pilihan raya Tioman sebagai tanda kesepakatan ‘Kerajaan Perpaduan’ di peringkat negeri dan nasional,” katanya.
Pilihan raya Tioman diadakan selepas seorang calon bagi DUN itu, Md Yunus Ramli, meninggal dunia beberapa jam sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15 dijalankan pada 19 Nov lalu.
Md Yunus, 61, adalah calon daripada PAS yang sepatutnya mewakili PN.
Dia pernah bertanding di kerusi berkenaan pada PRU 2018.
Selain Md Yunus, ada empat lagi calon berdaftar pada 19 Nov lalu adalah Mohd Johari Hussain (BN), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Osman A Bakar (Pejuang) serta Sulaiman Bakar (bebas).
Mohd Johari adalah penyandang kerusi tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK Tioman diadakan pada 24 November manakala pengundian awal pada 3 Disember.
Untuk PRK kali ini, PN menamakan Nor Idayu Hashim sebagai calon baru mereka.-SAHIH.