BN Pahang letak 70 peratus calon muda PRU15, kekal kemenangan
JERANTUT : Barisan Nasional Pahang akan mempertaruhkan antara 60 hingga 70 peratus muka baharu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, calon-calon muka baharu kombinasi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta lama yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan pada 2 November (esok) di Hotel Zenith, Kuantan.
“Calon muda berkenaan merupakan kalangan mereka yang dipilih oleh UMNO Bahagian masing-masing dianggap calon boleh menang (winnable candidates) dan mempunyai pengaruh di kawasan masing-masing.
“BN Pahang sudah membuat pertimbangan yang tepat serta yakin dengan kewibawaan calon berkenaan untuk berdepan dengan pembangkang dijangka memberi tentangan yang sengit pada PRU15,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021 dan Hal Ehwal Murid Jabatan Pelajaran Negeri Pahang di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Jerantut di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kira-kira 75,000 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun yang akan mengundi kali pertama diyakini akan memihak kepada BN kerana mereka sudah didekati oleh pemimpin BN sejak awal lagi.
“BN Pahang menjangkakan kira-kira 300,000 pengundi yang mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRU15 ini.
“Saya amat yakin pengundi berkenaan akan memilih BN walaupun bukan 100 peratus,” katanya.
Beliau yang Pengerusi BN Pahang ketika ditanya mengenai penyandang bagi kerusi Parlimen dan DUN yang dipilih semula juga dikenali sebagai calon boleh menang dan berupaya mampu mengekalkan semula kawasan masing-masing.
“Kita tidak ragu-ragu dengan penyandang kerana mereka mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan pengundi dan berpengalaman untuk meneruskan kepimpinan di kawasan masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi tersebut Wan Rosdy berkata, BN Pahang akur dengan keputusan Ahmad Nazlan.
“Beliau (Ahmad Nazlan) memberitahu akan sama-sama membantu semasa kempen bagi calon BN Parlimen Jerantut untuk memastikan kemenangan akan berpihak kepada BN.
“Saya optimis BN Pahang akan memenangi 14 kerusi Parlimen dan 42 DUN dalam PRU15 ini,” ujarnya,
Sunber: Utusan Malaysia