Sepasang suami isteri tewaskan 300 keluarga dinobatkan juara pertandingan Rumah Merdeka
Sepasang suami isteri tewaskan 300 keluarga dinobatkan juara pertandingan Rumah Merdeka
JERANTUT – Sepasang suami isteri dinobatkan juara dalam pertandingan kategori Rumah Merdeka anjuran Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Rancangan (JKPKR) Jengka 24 sempena sambutan hari kebangsaan yang ke-65, hari ini.
Kedua mereka menewaskan 300 buah keluarga dengan membelanjakan RM600 untuk membeli bendera pelbagai saiz untuk menghias halaman rumah dengan lanskap dan rumahnya selama dua minggu menjelang tarikh penutup.
Peneroka Felda Jengka 24 yang muncul juara, Zulmi Abd Rahman (58) berkata apabila dimaklumkan pertandingan menghias rumah sempena hari kebangsaan diadakan tahun ini, dia dan keluarga berbincang untuk mencari konsep hiasan tahun ini.
“Saya, isteri, anak seramai 10 orang termasuk cucu turut teruja menghias rumah malah ada yang mengambil peranan mengambil sudut atau tempat masing-masing untuk meletakkan hasil kerja tangan masing-masing.
“Cucu saya berusia 10 tahun turut menulis dan mewarna kain sepanduk tulisan khat jawi untuk digantung di laluan masuk ke halaman rumah,” katanya.
Katanya, tujuan aktiviti menghias halaman dan rumah untuk menyertai pertandingan tetapi yang paling utama meningkatkan jati diri dengan semangat menyambut hari kebangsaan khususnya generasi muda.
Sementara itu isterinya, Kartina Talib (50) berkata, sebanyak RM600 untuk membeli pelbagai alatan seperti bendera dan cat serta menggunakan bahan buangan seperti bekas botol minuman dan tempurung untuk menjadi sebahagian bahan hiasan.
“Anak-anak dan cucu mengambil peluang menghias apabila mereka balik di hujung minggu untuk membantu menghias kawasan dan rumah.
“Malah mereka memberi pandangan dengan penuh semangat, saya hanya membiarkan kerana sebenarnya untuk membentuk semangat mereka menyambut hari kebangsaan,” katanya.
Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Rancangan (JKPKR) Jengka 24, Razak Daud berkata, pertandingan yang bermula pada 15 Ogos dan berakhir 31 Ogos lalu memberikan peluang kepada keluarga peneroka, rumah guru, sekolah, kaki tangan Felda dan kuarters FGV menyiapkan hiasan berkonsepkan Jalur Gemilang dan kemerdekaan negara.
“Hasil pertandingan ini, kita nampak penyertaan para peneroka di sini lebih hebat, proaktif berbanding tahun lalu sekali gus menzahirkan semangat patriotisme apabila kelihatan rumah mereka dan blok penempatan masing-masing diwarnai Jalur Gemilang dan replika tertentu.
“Inilah semangat yang saya dan pihak pengurusan Felda Jengka 24 amat kagumi dan berhasrat menjadikan aktiviti mengibarkan Jalur Gemilnag dan keceriaan kediaman serta blok penempatan masing-masing sebagai budaya harian keluarga peneroka di sini pada masa akan datang,” katanya kepada media di Felda Jengka 24, Jerantut.
Katanya, seramai 2,000 orang peneroka daripada 300 buah keluarga memeriahkan penghujung sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 dan Hari Malaysia apabila menerima hadiah kategori Rumah Merdeka dan Keceriaan Blok Penempatan terbaik di Felda Jengka 24.
Menurut Razak, selepas diteliti oleh panel hakim, hadiah tempat pertama bagi kategori Rumah Merdeka dimenangi oleh dua orang peneroka, iaitu rumah Zulmi Abd Rahman dan Masngot Kusno dengan memperoleh hadiah wang tunai RM750, rumah Razali Duman, tempat kedua (RM600) dan tempat ketiga juga dimenangi dua orang pemilik rumah, iaitu Abd Ghani Abdullah dan Mohd Yusof Othman (RM500).
Bagi kategori keceriaan blok penempatan, tempat pertama dimenangi bersama oleh dua buah blok, iaitu Blok 9 dan Blok 4 (RM750), hadiah kedua, Blok 7 dan Blk 3 (RM600), manakala tempat ketiga, Blok 8 dan Blok 14 (RM500).
“Selain pertandingan ini diadakan secara tersirat menjadikan hasrat Perdana Menteri untuk mewujudkan Keluarga Malaysia Teguh Bersama menjadi realiti,” katanya.-SAHIH.