Empat maut dalam kemalangan yang libatkan 4 kenderaan
Foto atas : Lori treler yang terbabas merempuh Proton Exora yang mengakibatkan 4 maut dalam kemalangan KM135.7, LPTI, pagi ini.
Empat maut dalam kemalangan yang libatkan 4 kenderaan
TEMERLOH – Empat orang maut termasuk pemandu trak tunda yang bertugas membantu kenderaan yang mengalami masalah sebelum berlaku kemalangan di Kilometer 135.7, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) menghala ke Kuantan di sini, pada jam 3.26 pagi, hari ini.
Kenderaan yang terlibat, iaitu lori kontena, trak tunda, Proton Exora dan Proton Waja dan melibatkan 17 mangsa.
Dalam kemalangan itu, 11 orang yang menaiki Proton Exora, Proton Waja (empat orang) dan masing-masing seorang di dalam lori kontena serta trak tunda.
M maut adalah dua warga emas dan seorang remaja lelaki yang menaiki Proton Exora serta pemandu trak tunda.
Manakala seramai 12 mangsa mengalami kecederaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh pergi ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat kemalangan tersebut.
Menurut kenyataan itu, kemalangan berlaku dipercayai berpunca apabila lori kontena terbabas dan merempuh trak tunda yang sedang mengangkat Proton Exora yang rosak di tepi lebuh raya tersebut serta terdapat Proton Waja yang berhenti di tempat kejadian.
“Rempuhan itu mengakibatkan Proton Exora jatuh ke dalam gaung pada kedalaman kira-kira 12 meter. Pasukan bomba membawa mangsa naik dari gaung dengan menggunakan tali menyelamat dan strecher,” katanya.-SAHIH.