Pelajar MSU dan Universiti Surabaya lakukan kajian warga emas
Foto atas : 40 pelajar Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia, merakamkan kenangan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, selepas membuat kajian komuniti, baru-baru ini.
Pelajar MSU dan Universiti Surabaya lakukan kajian warga emas
SEMENYIH – Management and Science University (MSU), Shah Alam dan 40 pelajar perubatan Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia melakukan kajian berkaitan masalah komuniti khusus warga emas tersisih di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Kajian itu merupakan antara pembelajaran pelajar perubatan tahun tiga universiti berkenaan selama mereka meneruskan pengajian tiga minggu di MSU bagi melengkapkan kefahaman mengenai perubatan komuniti membabitkan warga emas terutama yang diabaikan keluarga.
Pensyarah Fakulti Perubatan MSU, Profesor Madya Dr Hazian Hamzah, berkata walaupun dalam tempoh yang agak singkat pelajar universiti berkenaan diberi peluang menyantuni warga emas di PJMM dalam usaha meningkatkan kefahaman mengenai masalah komuniti.
Katanya, pelajar dibenarkan berinteraksi dengan mengemukakan beberapa soalan kepada warga emas terbabit seperti bertanya mengenai keperluan dan perhatian ditagih apabila usia sudah lanjut serta berada di pusat jagaan berkenaan tanpa mendapat perhatian keluarga.
“Semua ini akan membantu melengkapkan kajian mereka dalam memahami masalah komuniti apabila berada dalam lapangan sebenar dengan berkhidmat sebagai doktor di negara mereka nanti, “ katanya dalam ucapan ringkas pada majlis lawatan pelajar berkenaan.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado; dan Pensyarah Fakulti Perubatan MSU, Dr Hana Chen Weijun serta Dr Haryati Anuar.
Pensyarah Fakulti Perubatan MSU, Dr Hana Chen Weijun berkata, walaupun berlainan budaya tidak menjadi masalah kepada pelajar berkenaan untuk bertanya warga emas terbabit khusus membabit isu semasa yang berlaku di semua komuniti negara apabila anak berjaya tidak mampu untuk menguruskan ibu atau bapa.
Menurutnya, dengan bertanyakan masalah yang menimpa warga emas di PJMM itu memberi peluang kepada pelajar membuat perbandingan dengan nasib penghuni di pusat jagaan yang terdapat di negara mereka dalam kajian yang dilakukan.
“Sekurang-kurangnya apabila menjadi doktor nanti mereka akan dapat mengsyorkan sesuatu yang bermanfaat kepada pihak berkenaan langkah perlukan dilakukan untuk membela nasib warga emas yang disisih keluarga atau tiada waris bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Pelajar perubatan Universitas Airlangga, Surabaya, Gabriel Rio Widipriyatama berharap akan menjadi seorang doktor yang terbaik termasuklah memahami setiap masalah membebani warga emas khusus di negaranya sehingga ada disisihkan ahli keluarga.
“Oleh demikian kajian mengenai masalah masyarakat termasuklah mereka yang menghuni pusat jagaan penting untuk difahami kerana ada antara warga emas ini menghidap pelbagai penyakit dalam usia sudah lanjut,” katanya.
Rakannya, Azarine Ariqoh Asrofi Sidqon, pula berkata di negaranya menjadi kebiasaan ramai ibu, bapa atau warga emas yang uzur dijaga ahli keluarga bagi meneruskan kehidupan dan anak berusaha mengelak untuk menghantar ke pusat jagaan.
“Saya berasa seronok selama tiga minggu belajar di MSU dan di bawa ke pusat jagaan ini untuk mendalami permasalahan komuniti khusus warga emas tersisih yang sesetengah memberi jawapan berbeza dengan nasib yang menimpa mereka di Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PJMM), Azman Rasman akan sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak termasuk dari pusat pengajian tinggi yang ingin menjalankan aktiviti atau kajian mengenai warga emas di situ yang mendapat pembelaan secara percuma di pusat berkenaan.
“Kami mahu memastikan warga emas tersisih ini berada dalam keadaan gembira serta sihat sejahtera walaupun rata-rata antara mereka uzur selain dilupakan terus oleh waris termasuk yang berada dalam keadaan nazak,” katanya.-SAHIH.