Usahawan luar bandar jangan bergantung perniaga secara tradisonal
Usahawan luar bandar jangan bergantung perniagaan secara tradisional
LIPIS – Usahawan luar bandar jangan bergantung sepenuhnya kaedah perniagaan secara tradisional tetapi perlu berani dan beralih melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran digital untuk bersaing dalam perniagaan era ini.
Sejak April lalu, 3,000 usahawan luar bandar telah dilatih di bawah program DesaMall@KPLB bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan menjalankan perniagaan secara dalam talian dengan mencatat nilai jualan lebih RM4 juta.
Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, untuk memastikan proses peralihan itu berjaya, usahawan digalak menghadiri latihan serta program peningkatan kemahiran berkenaan bagi memastikan produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian pelanggan.
“Peralihan kepada pemasaran secara digital adalah norma baharu perniagaan namun memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi dan kemahiran berkemungkinan tidak memberi impak yang berkesan dan kompetitif.
“KPLB menyedia banyak kursus dan bimbingan digital bagi membantu usahawan luar bandar dalam memasar, menambah baik mutu dan kualiti produk untuk kesediaan berniaga dalam talian termasuk menyedia platform DesaMall@KPLB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian penutup program Mini Karnival Usahawan Desa(KUD)@Lipis di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis, malam ini.
Katanya, DesaMall@KPLB diperkenalkan pada Oktober 2017 dan memasarkan 3,567 produk di platform e-dagang seperti Lazada, Shopee dan eBay.
“Program ini memberi peluang kepada belia luar bandar dari golongan B40 untuk menerima latihan asas keusahawanan dan bimbingan intensif selama enam bulan serta bantuan dalam bentuk peralatan dan modal bagi memulakan perniagaan,” katanya.
“Karnival Usahawan Desa anjuran KPLB ini turut menyedia platform bagi mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta agar dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar,” katanya.
Katanya, melalui program ini kementerian dapat mengumpul maklumat dan mendapatkan maklum balas terkini daripada usahawan luar bandar khasnya di bawah bimbingan KPLB, mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian dan agensi bagi tujuan penambahbaikan berterusan.
“KUD antara program pemasaran di bawah KPLB yang bertujuan memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar melalui perluasan akses pasaran serta peningkatan aktiviti pemasaran kepada pihak pengeluar, pembekal, pemborong, dan pengedar untuk menjalinkan kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan,” katanya.
“Mini KUD@Lipis yang diadakan sejak 30 Jun dan berakhir hari ini mengumpulkan 135 usahawan di bawah bimbingan KPLB merekodkan seramai lebih 43,000 pengunjung dengan nilai jualan termasuk tempahan mencecah RM400,000 telah dicatatkan,” katanya.-SAHIH.