50 ahli sertai UMNO, ARMADA Temerloh ‘mati’
50 ahli sertai UMNO, ARMADA Temerloh ‘mati’
TEMERLOH – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Temerloh ‘mati’ apabila 50 orang ahlinya menyertai Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, di sini, malam tadi.
Penyertaan ke parti UMNO itu diketuai oleh Ketua ARMADAnya, Muhammad Faharuddin Hashim setelah mengikuti perkembangan parti itu di peringkat atasan yang tidak cakna kepada perjuangan parti dan juga tidak menghiraukan ahli di peringkat akar umbi.
Katanya, amat sedih bila tiada sebarang tindakan susulan untuk memperkukuhkan parti khususnya di peringkat akar umbi.
“Saya mengambil keputusan dengan rela hati setelah memikirkan perkara ini dan mengambil masa yang agak lama untuk menyertai UMNO.
“Inilah masa yang sesuai untuk saya menyertai parti dan turut disertai oleh rakan lain,” katanya di Temerloh.
Beliau yang juga Ketua Penerangan ARMADA Pahang turut disertai oleh bendahari, setiausaha, penolong setiausaha, ketua penerangan dan seorang jawatankuasa ARMADA Bahagian Temerloh.
Katanya, ARMADA Bahagian Temerloh ada seramai kira-kira 300 orang dan hanya kira-kira 100 orang sahaja yang aktif.
“Baki yang aktif, bakal turut menunggu masa untuk mengikuti jejak kami dan kini jawatankuasa ARMADA Temerloh sudah tidak bernakhoda.
“Saya menyertai Pemuda UMNO Bahagian Temerloh kerana nampak pejuangan mereka masih releven dan jelas hala tujunya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata, kami menerima rakan kami dari ARMADA dengan besar hati dan akan bekerjasama dan akan mengembleng tenaga untuk memperkukuhkan parti.
“Saya kira, mereka (ARMADA) nampak jelas perjuangan parti UMNO yang sangat cakna dengan akar umbi demi bangsa, agama dan negara.
“Penyertaan mereka ke dalam parti UMNO tidak dipaksa dan tanpa sebarang syarat, malah mereka dengan rela hati menyertai kita (UMNO) untuk sama berjuang menentukan hala tuju negara,” katanya.-SAHIH.