Hormat Cara Johor sepanjang kempen PRK Mahkota
Hormat Cara Johor sepanjang kempen PRK Mahkota
KLUANG – Jentera Pemuda UMNO Pahang sentiasa menghormati cara dan pendekatan digunakan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.
Ini kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor mempunyai gaya dan kaedah tersendiri dalam mendekati pengundi di situ.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim berkata, buat masa ini jentera Pemuda UMNO Pahang hanya membantu berdasarkan keperluan pihak UMNO dan BN Johor.
“Kita perlu hormati cara mereka melakukan gerak kerja.. mereka ada cara sendiri.. Cara Johor dan kami bersedia membantu apa yang boleh kita bantu.
“Selebihnya, UMNO dan BN Johor akan tentukan dan berikan garis panduan yang sewajarnya untuk kami patuhi,”jelasnya.
Kamil bagaimanapun memaklumkan suasana kempen yang sudah hampir dengan hari pengundian pada Sabtu ini, berjalan dengan teratur dan tertib.
Katanya, pendekatan bersemuka secara langsung dengan pengundi adalah cara paling berkesan bagi memahami keperluan mereka.
“Kita banyak melakukan kerja lapangan seperti menyantuni peniaga dan bertemu dengan pengundi di kedai makan serta kawasan perniagaan sekitar bandar Kluang.
“Daripada situ, kita dapat maklumat mengenai isu yang berbangkit dan seterusnya mencari jalan penyelesaian secara bersama.
“Saya percaya PRK Mahkota akan berpihak kepada Syed Hussien Syed Abdullah mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya.-SAHIH