Hasrat tunai umrah tidak kesampaian, pesara polis dan isteri maut dalam kemalangan jalan raya LPT hala Kuala Lumpur
Hasrat tunai umrah tidak kesampaian, pesara polis dan isteri maut dalam kemalangan jalan raya LPT hala Kuala Lumpur
JERANTUT – Hasrat sepasang suami isteri untuk menunaikan ibadah umrah pada 5 Oktober akan datang tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM 192.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur pada jam 5.15 petang, semalam.
Pasangan yang maut itu, Abd Talib Akob, 73 tahun seorang pesara polis dan Fuziah Mohd Marzuki (62) kedua-duanya beralamat di Taman Muhibbah, Jerantut telah pergi ke Kuantan pada hari Sabtu untuk mengikuti kursus umrah di Taman Indera Mahkota, Kuantan.
Anak keduanya, Muhammad Tarfizam Abd Talib (40) berkata, selesai kursus umrah, bapa dan emaknya pergi ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan untuk membuat urusan pasport sebagai persediaan ke Arab Saudi.
“Selepas siap urusan di jabatan imigresen, bapa dan emak serta adik kelima, Muhammad Taufik yang memandu kenderaan 4 x 4 dan ipar terus balik ke Jerantut.
“Saya menerima panggilan daripada adik yang tinggal di Ipoh memaklumkan kejadian tersebut setelah menerima panggilan isteri pemandu 4 x 4,” katanya ketika ditemui di kediaman mangsa di Taman Muhibbah, dekat sini, hari ini.
Manakala, pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton, Muhamad Taufik Abd Talib (34) dan isterinya Noor Syafiyana Ahmad Sobri (32) mengalami cedera ringan dan dijangka keluar wad hari ini.
Kata Tarfizam, mereka adik beradik merancang untuk membuat kejutan untuk menyambut hari lahir bapa dan emaknya pada bulan Julai ini.
“Kami berpakat adik-baradik dan merancang cuti pada bulan Julai ini untuk membuat kejutan menyambut hari lahir bapa dan emak di Kuantan.
“Tapi, takdir Allah menjemput kedua orang tua saya yang berhasrat tidak sempat menunaikan umrah pada Oktober dan kami sekeluarga juga terkejut kerana perancangan dan persiapan hampir siap untuk kejutan sambutan hari lahir mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.15 petang hanya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
“Kenderaan yang dipandu dari arah Kuantan yang menghala ke Jerantut itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelah kiri dan masuk ke dalam gaung.
“Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan itu remuk pada keseluruhan bahagian. Dua daripada mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kamarulzaman berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati jalan adalah lurus dan mempunyai dua lorong sehala.
Jelasnya, namun keadaan ketika itu cuaca hujan lebat dan keadaan jalan adalah basah. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.