Penduduk Felda Jengka 24 gembleng tenaga jaya sambutan hari raya secara kenduri kampung
Penduduk Felda Jengka 24 gembleng tenaga jaya sambutan hari raya
BANDAR PUSAT JENGKA – Penduduk di Felda Jengka 24 menggembleng tenaga menjayakan sambutan hari raya tahun ini mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri direalisasikan oleh penduduk di situ yang diadakan di Dewan Felda Jengka 24, di sini, hari ini.
Bermula dengan mesyuarat ‘meletak kerja’ sehingga ke peringkat mengemas selepas majlis, pengurusannya berjalan lancar dan sangat dirindukan oleh mereka selepas dua tahun tidak menyambut perayaan hari raya kerana sekatan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) wabak Covid-19.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, semua peneroka di Blok 1 hingga Blok 14 turut memberi kerjasama yang erat dengan berkonsepkan kenduri kampung untuk menjayakan majlis ini dengan sokongan daripada pihak pengurusan atasan Felda Jengka 24.
“Semua gabungan penduduk di Felda ini termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) turut memberi kerjasama yang baik.
“Tidak terkecuali Kami Anak Felda (KAF) dan koperasi di sini termasuk orang perseorangan berkerja keras memberi tumpuan khusus untuk menjayakan majlis sambutan,” katanya.
Turut hadir ke majlis tersebut, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah dan kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut.
Seorang peneroka yang juga Jawatankuasa Biro Ladang Felda Jengka 24, Azmi Saad (60) berkata, setelah 2 tahun tidak menyambut sambutan hari raya kerana PKP, tahun ini sambutan sangat merah walaupun sederhana.
“Berkat kerjasama semua pihak majlis ini berjalan lancar dan turut diberi rezeki yang terbaik kerana harga sawit yang tinggi.
“Berkat konsep ‘sedekah’ di kalangan peneroka seramai 290 keluarga di sini, majlis ini turut dimurahkan rezeki yang lumayan kerana terdapat keluarga peneroka sudi membawa juadah dari rumah masing-masing untuk dikongsi bersama,” katanya.-SAHIH.