Duda anak empat antara tiga penerima rumah baharu YASA daripada Yang di-Pertuan Agong di Raub
Duda anak empat antara tiga penerima rumah baharu YASA daripada Yang di-Pertuan Agong di Raub
RAUB – Seorang duda empat orang anak, Hassan Hitam, 65 tahun, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana menyampaikan bantuan pembinaan sebuah rumah baharu di Kampung Temau, Raub, hari ini.
Beliau seorang pesara yang pernah berkhidmat di Muzium Negara itu berkata, kediaman baharu dibina berikutan rumah pusaka telah rosak setelah dua kali diancam banjir yang menenggelamkan rumah itu hampir keseluruhan bumbung pada bulan Disember, 2021 dan Februari 2022.
“kejadian sedih itu mendapat perhatian pengurusan Jawatan Pembangunan Keselamatan Kampung, Penghulu Mukim dan wakil rakyat untuk mengajukan permohonan projek itu kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dan hari ini saya menerima kunci daripada baginda setelah kediaman ini siap bulan lalu.
“Saya amat berbesar hati dan menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan anakandanya, Tengku Hassanal kerana dapat melapangkan masa menziarahi kami penduduk di sini dengan menyampaikan sumbangan barang makanan dan duit raya,” katanya.
Jelasnya, kediaman baharu itu dibina tinggi itu untuk mengelak dari ancaman banjir, beliau menyifatkan rumah baharu itu sebagai rahmat sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini dan juga hadiah persaraannya.
Sementara itu, ketibaan baginda disambut serta diiringi anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Datuk Abd Aziz Mat Kiram dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab.Moin
Projek rumah baharu YASA untuk penduduk yang kurang berkemampuan di tiga buah kampung tersebut masing-masing sebuah bernilai RM100,000 melibatkan kos pembinaan termasuk alat perabot.
Al-Sultan Abdullah telah menyampaikan replika kunci rumah baharu YASA serta beramah mesra dengan penerimanya, Hassan Hitam, 65,termasuk menyumbangkan barang keperluan dapur dan duit raya kepada seramai 15 orang penduduk yang kurang berkemampuan di Kampung Temau dekat sini.
Baginda dan Tengku Hassanal turut berkenan meninjau rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik, dua bilik air selain dilengkapi ruang makan yang selesa dan disertakan perabot.
Titah baginda, penerima rumah baharu sumbangan YASA wajar mendiami rumah baharu dan menjaganya serta memulakan penghidupan baharu kerana yayasan tersebut sudah menyediakan tempat tinggal yang selesa serta dilengkapi kemudahan alat perabot.-SAHIH.