Pengguna jalan raya di bandar Jerantut cemas, laluan dinaiki air
Foto atas : Laluan ke bandar Jerantut berhadapan stesen minyak Caltex digenangi air sedalam kira-kira 0.5 meter dalam banjir kilat petang ini.
Pengguna jalan raya di bandar Jerantut cemas, laluan dinaiki air
JERANTUT – Hujan lebat yang turun mengakibatkan beberapa tempat di bandar ini digenangi air kerana berlaku hujan lebat bermula kira-kira jam 5.15 petang, hari ini.
Kejadian banjir kilat itu mengundang kesesakan jalan raya di samping terdapat beberapa kenderaan tersekat dan berjaya diselamatkan.
Laluan yang paling teruk ditenggelami air di jalan menghala ke bandar Jerantut berhadapan dengan stesen minyak Caltex ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter.
Turut ditenggelami air di stesen minyak Petronas, kawasan premis dan Taman Inderapura berdekatan Jalan Jerantut – Temerloh menyebabkan beberapa buah kereta terperangkap dalam air dan aktiviti perniagaan ditamatkan lebih awal.
Bagaimanapun, air surut begitu cepat dalam tempoh 20 minit selepas hujan lebat berhenti pada jam 5.45 petang tadi.
Penduduk Taman Koperasi dekat sini, Basir Ramli berkata, kebanyakan kereta bergerak perlahan dan pemandu berhati-hati ketika melalui beberapa laluan ditenggelami air.
“Saya bimbang ketika balik ke rumah selepas datang dari rumah adik di Taman Inderapura untuk berhari raya, mulanya agak cemas bimbang kereta terkandas, tetapi mujurlah selamat.
“Mungkin sistem pembetung yang kecil, cetek atau tersumbat dengan sampah sarap di kawasan bandar ini yang boleh mengakibat berlaku banjir kilat,” katanya.
Seorang penduduk Taman Inderapura, Rahmat Mohd Yusoff berkata, ketika itu dia berada di rumah, hujan lebat berlaku disusuli dengan petir yang kuat.
Katanya, sebuah rumah nyaris terbakar berpunca litar pintas yang dipanah petir di bahagian suis utama rumah tersebut di Taman Inderapura pada jam kira-kira jam 5.30 petang.
Katanya, mujur tuan rumah bertindak pantas dengan membuat panggilan kecemasan ke Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastrutur dan Lalu Lintas Majlis Daerah Jerantut, Datuk Ridzuan Mansor berkata, hujan sangat lebat dan luar biasa menyebabkan banyak laluan di bandar ini dinaiki air terutamanya di hadapan stesen minyak Caltex dan Restoran Kopi Putih, iaitu jalan menghala ke Temin.
“Saya mengakui pembetong sedia ada tidak dapat menampung jumlah air yang banyak ketika hujan lebat dan menyebabkan kerap berlaku banjir kilat.
“Alhamdulillah dalam tempoh 15minit hingga 20 minit air surut dan sedikit air yang bertakung,” katanya ketika ditemui di lokasi banjir di hadapan stesen minyak Caltex bandar ini.-SAHIH.