Penduduk Simpang Tiga kutip sampah di laluan CSR, Lipis-Merapoh
Foto atas : Grup Komuniti Simpang Tiga bergotong royong membersihkan sampah yang ditinggalkan oleh pengguna jalan raya di laluan Central Spine Road (CSR) Lipis-Merapoh bagi menghindari ‘sakit mata’ melihat sampah sarap bertaburan di tepi laluan itu.
Penduduk Simpang Tiga kutip sampah di laluan CSR, Lipis-Merapoh
LIPIS – Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berharap keadaan sampah sarap yang ditinggalkan pengguna jalan raya laluan CSR, Lipis-Merapoh tidak akan berulang lagi pada Hari Raya Aidilfitri tahun depan dan memohon pengguna laluan itu dapat menjaga kebersihan selari dengan ajaran agama Islam.
“Tahun sebelum ini, saya dan isteri pernah turut serta bersama penduduk Kechau, pekerja Alam Flora dan Majlis Daerah Lipis turun bergotong-royong mengutip sampah-sampah di laluan ini untuk memastikan persekitaran kiri-kanan jalan raya ini bersih semula.
” Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dibina berdekatan Gua Bama, Kampung Relong bagi keselesaan pengguna jalan raya di laluan ini. Kita berharap pihak yang berwajib membina segera kemudahan ini sebelum hari raya tahun depan,” katanya.
Manakala, Grup Komuniti Simpang Tiga bergotong royong membersihkan sampah yang ditinggalkan oleh pengguna jalan raya di laluan Central Spine Road (CSR) Lipis-Merapoh bagi menghindari ‘sakit mata’ melihat sampah sarap bertaburan di tepi laluan itu.
Ketua Grup Komuniti Simpang Tiga, Padang Tengku, Tengku Al Malek Faizal berkata, setiap kali sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri, mereka mengutip sampah berselarakkan sejak lima tahun lalu.
Katanya, paling banyak sampah berada di sebelah kiri laluan Simpang Padang Tengku dan Kampung Kechau seperti tin minuman, polisterin, plastik bungkusan makanan, kotak rokok, lampin pakai buang dan sebagainya dipercayai dibuang sesuka hati dari tingkap kenderaan.
“Nak buat cam mana, saya bersama beberapa orang penduduk kampung ini berusaha sendiri mengutip sampah-sarap di laluan ini kerana sudah tidak tahan ‘sakit mata’ melihat sampah.
“Kami membawa plastik sampah besar dan mengutip sampah di laluan ini sejak pukul 8 pagi hari ini, dan sudah menjadi rutin kami turun mengutip sampah, ” katanya di laluan CSR berdekatan Kechau dekat sini hari ini.
Katanya, sampah-sarap dibuang bersepah oleh orang ramai daripada Lembah Kelang dan tempat lain untuk pulang bercuti panjang berhari raya ke kampung halaman masing-masing dan kawasan berdekatan sejak sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri atau balik semula selepas hari perayaan.
Kata Tengku Al Malek, mereka mengutip sampah-sarap di sepanjang 400 meter di laluan CSR di situ dan mengumpul bahan buangan itu sebanyak 40 buah plastik untuk dimuatkan ke dalam lori pemungut sampah.
Seorang lagi aktivitis tersebut, Izwan Mustapa berkata, dia dan rakannya yang lain sudah sedia maklum kejadian buang sampah di laluan itu akan berlaku setiap kali menjelang sambutan hari raya dan hari perayaan lain.
“Kami tidak mengutip sampah menjelang hari raya kerana keadaan akan berlaku lagi, oleh itu eluklah kami kutip sampah selepas semua sudah balik semula ke Lembah Kelang.
“Memandangkan suasana yang amat kotor di jalan ini, saya sedih serta memohon pengguna yang berkenderaan di laluan ini ketika pulang berhari raya di negeri berdekatan Pahang supaya lebih berdisiplin dan menjaga sensitiviti penduduk di sini,” katanya.
Katanya, mereka bergotong royong mengutip sampah turut membantu pekerja Alam Flora dan Majlis Daerah Lipis setiap kali selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri di laluan ini.-SAHIH.