Warga emas teruja kembalikan nostalgia sambut hari raya
Foto atas: Bakar Mat dan isterinya, Khadijah Mohamad masih mempu melakukan persiapan sambutan raya dengan mengupas kelapa untuk persiapan juadah raya.
Warga emas teruja kembalikan nostalgia sambut hari raya
LIPIS – Pasangan warga emas, Bakar Mat, 82, dan isterinya, Khadijah Mohamad, 72, masih gagah melakukan persiapan menjelang sambutan Syawal tidak lama lagi.
Walaupun sudah berusia, persiapan tetap dilakukan sekadar mampu bagi meraikan kepulangan 10 orang anak dan menantu serta 25 orang cucu yang tinggal di tempat lain kembali untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama mereka di Kampung Sungai Damar, kira-kira 25 kilometer dari bandar Kuala Lipis.
Bakar dan isterinya juga berasa syukur kerana masih dizinkan Allah SWT kesihatan yang baik mampu berpuasa sehingga hari ini di samping memenuhi malam lailatulqadar dengan aktiviti solat terawih di masjid, bertadarus al-Quran dan ibadat tertentu walaupun dia (Bakar) mengalami penyakit gout.
“Sudah menjadi tradisi setiap kali menjelang Syawal, persiapan raya perlu dilakukan bagi meraikan anak-anak dan kehadiran saudara mara jauh dan dekat.
“Sejak awal bulan Ramadan dan menjelang 1 Syawal ini, saya dan isteri sungguh bersemangat untuk berhari raya bersama anak menantu dan cucu serta tidak sabar menunggu kepulangan mereka ke rumah ini, lebih-lebih lagi selepas tidak menyambut bersama sejak 2 tahun lalu kerana pandemik,” katanya.
Bakar berkata, dia berasa lebih teruja dan seronok kerana Hari Raya Aidilfitri tahun ini memandangkan suasana yang sudah hampir bebas daripada ancaman pandemik Covid-19 bagi membolehkan semua ahli keluarga, jiran tetangga dan penduduk berdekatan dapat berkumpul dan beraya dalam suasana meriah dan ukhuwah sesama ahli keluarga.-SAHIH.