Mencari kakak yang terpisah hampir 50 tahun ditemui
Mencari kakak yang terpisah hampir 50 tahun ditemui
JERANTUT – Badliyah Din (62) gembira setelah usaha menjejaki kakaknya Che Putih Din yang hilang hampir 50 tahun lalu ditemui semula melalui usaha orang ramai dan wartawan, hari ini.
Kakaknya, Che Putih Din berusia 72 tahun yang tinggal di Taman Lip Sin, Sungai Nibong, Bayan Lepas bersama suaminya berusia 80 tahun dan seorang anak.
Adik kepada Che Putih Din, Badliyah Din berharap selepas sambutan hari raya ini, dia akan pergi bertemu kakaknya di Sungai Nibong untuk melepaskan kerinduan yang dipendam begitu lama.
“Saya berdoa setiap hari agar dapat bertemu kakak saya yang terpisah sejak 1973 dan pertemuan ini maka berakhirlah pencarian kakak kandung saya yang menjadi peneman saya semasa zaman kanak-kanak.
“Saya gembira dengan usaha yang dibantu oleh orang ramai dan wartawan yang membawa kepada penemuan ini, hanya Allah SWT sahaja yang membalas budi kalian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Padang Piol,hari ini.
Ketika kunjungan wartawan ke rumahnya, Badliyah diberi peluang berhubung melalui panggilan video yang dengan kakaknya.
Tergambar kegembiraan Badliyah bila berbual dengan kakaknya dan tidak sabar untuk mengunjungi kakaknya tidak lama lagi.
“Syawal tahun ini sangat bermakna buat saya kerana dapat bertemu kakak walaupun sekejap melalui panggilan video serta dapat melihat wajah kakak yang lama dirindui.
“Puas menjejaki kakak di sekitar Balik Pulau, Pulau Pinang dan sekitar Sungai Petani, Kedah tetapi gagal, kini hati saya bagai dipanggil-panggil dan tidak sabar lagi untuk berjumpanya ,” katanya.
Katanya, perpisahan itu bermula kerana arwah bapa dan ibunya tidak bersetuju dengan hasrat perkahwinan kakaknya (Che Putih) dengan seorang lelaki yang dipercayai sudah beristeri.
“Ketika arwah ibu dan bapa meninggal dunia pun Kak Teh tidak pulang selepas dia keluar dari rumah pada 1973, pada waktu itu, kami sekeluarga tinggal di Kampung Pantai Perai, Kedah selepas ayah saya bersara dari pasukan polis.
“Kak Teh anak ketiga daripada tujuh beradik bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang ketika itu, tiba-tiba keluar rumah meninggalkan keluarga kerana arwah bapa dan ibu tidak bersetuju permintaannya untuk berkahwin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Padang Piol, hari ini.-SAHIH.