Jentera BN-Umno Lipis siap siaga
Jentera BN-Umno Lipis siap siaga
LIPIS – Jentera Barisan Nasional (BN) dan Umno Lipis sudah bersiap sedia menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jentera BN dan Umno Lipis sudah menggerakkan jenteranya hampir setiap hari untuk mendampingi pengundi di kawasan Parlimen itu.
Katanya, selain itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Lipis turut menjalankan jentera masing-masing supaya kekuatan dan keutuhan BN Umno terus mendapatkan tempat di hati rakyat.
“Saya yakin dan percaya semua jentera di sini sudah bersiap sedia, malah sebelum Ramadan satu kursus telah diberikan kepada semua anggota jentera parti untuk menjalankan peranan masing-masing.
“Selepas raya nanti satu lagi kursus bakal diadakan untuk memperkasakan peranan anggota jentera dalam menangani situasi semasa,” katanya.
Katanya, selain itu, setelah melakukan kajian dasar, sebanyak 70 peratus pengundi muda di seluruh negara adalah generasi BN-Umno dan ini memberi kelebihan kepada parti itu.
“Generasi muda, pengundi muda adalah berakar umbi daripada ibu atau bapa atau di kalangan adik beradik yang sudah berada dalam BN-Umno.
“Selain itu, pengaruh parti itu di kalangan waris mereka akan membantu mereka membuat keputusan yang mudah dan lebih condong kepada BN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyampaian barang keperluan membuat kuih-muih persiapan Hari Raya Aidilfitri untuk seramai 30 orang penduduk yang kurang berkemampuan di Kampung Gua dan kawasan berdekatan hari ini yang turut dihadiri ADUN Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.
Katanya, beliau turut yakin pengundi muda di Parlimen Lipis juga adalah berasal dari akar umbi BN-Umno antara 60 hingga 70 peratus.
“Namun, BN-Umno tidak mahu dibuai dengan keyakinan yang tinggi, oleh itu semua jentera perlu cergas dan sentiasa berwaspada dengan parti lawan,” katanya.-SAHIH.