Lipis Bandar Pertahanan bina kilang peluru dan jentera tentera
Foto atas: Penyampaian barang keperluan membuat kuih-muih persiapan Hari Raya Aidilfitri untuk seramai 30 orang penduduk yang kurang berkemampuan di Kampung Gua dan kawasan berdekatan hari ini.
Lipis Bandar Pertahanan bina kilang peluru dan jentera tentera
LIPIS – Kawasan Kechau, dekat sini bakal muncul sebagai Bandar Pertahanan (Defence City) yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM1 bilion dan bakal beroperasi selewat-lewatnya pada tahun 2024.
Timbalan Menteri Satu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pembangunan bandar tersebut dimulakan dengan membina kilang membuat peluru dan pemasangan komponen jentera berat serta trak tentera di kawasan seluas 80 hektar di daerah Lipis.
Katanya, projek itu dibahagi kepada dua fasa, fasa pertama melibatkan pembinaan kilang peluru dengan peruntukan hampir RM250 juta di kawasan tapak seluas 40 hektar yang akan bermula secepat mungkin serta dijangka membuka peluang pekerjaan kira-kira 1,000 orang.
“Fasa kedua pula bernilai RM600 juta dijangka mula dibina pertengahan tahun ini, iaitu kilang pemasangan alat komponen jentera berat ketenteraan serta kenderaan lain yang digunakan oleh Kementerian Pertahanan untuk anggota tentera,” katanya di Kampung Gua, dekat sini hari ini.
Katanya, sebuah kilang membuat peralatan komponen jentera berat ketenteraan juga akan dibina dalam masa terdekat di Bera termasuk dalam peruntukan RM1 bilion bagi membekalkan peralatan tersebut untuk dipasang di kilang Bandar Pertahanan ini.
“Sebagai ahli parlimen Lipis sudah pasti pembinaan projek ini menggembira saya dan penduduk di daerah ini sebagai salah satu cara untuk mengaktifkan daerah Lipis, selain ia turut membuka peluang pekerjaan khususnya orang Lipis yang berkelayakan.
“Terima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana membawa projek ini ke Lipis dan menghargai usaha Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana menyediakan tapak seluas 80 hektar untuk tapak pembinaan kilang ini,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas penyampaian barang keperluan membuat kuih-muih persiapan Hari Raya Aidilfitri untuk seramai 30 orang penduduk yang kurang berkemampuan di Kampung Gua dan kawasan berdekatan hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.
Katanya, ketiga projek tersebut, iaitu di Lipis dan Bera akan diselenggarakan pembinaan dan pengeluaran oleh syarikat tempatan sekali gus membuktikan kemampuan serta kepakaran syarikat berkenaan menyediakan aset kelengkapan ketenteraan dan pertahanan di negara ini.
“Pemilihan kawasan Kechau yang terletak kira-kira 35 kilometer dengan bandar Kuala Lipis merupakan kawasan cukup strategik untuk projek dua buah kilang tersebut kerana dihubungi dengan laluan Central Spine Road (CSR) Lipis ke Bentong.
“Kemudian dihubungkan oleh Lebuh Raya Karak ke Kuala Lumpur yang dijangka mengambil masa yang singkat untuk kemudahan pengangkutan alat komponen dan jentera berat,” katanya.
.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis selanjutnya berkata, berita yang menggembirakan ini juga apabila wujudnya peluang pekerjaan berskala besar kepada hampir 2,000 orang belia tempatan dan negeri ini amnya dalam bidang teknikal, pengurusan dan sebagainya.-SAHIH.