KPM kaji semula larangan guru aktif dalam kesatuan
Foto atas: Datuk Adnan Mat (2 dari kiri) dan Jasni Md Kechik (2 dari kanan) di selepas Majlis Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan (PPDT) Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) Kali ke-20/2022, di sini, hari ini.
KPM kaji semula larangan guru aktif dalam kesatuan
JERANTUT – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula larangan terhadap guru untuk memegang tampok kesatuan dan persatuan guru tanah air.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kesatuan guru adalah pembela profesion perguruan dan sentiasa prihatin terhadap perkhidmatan guru, berhubung dengan kerjaya, keistimewaan khas serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan profesion perguruan.
Katanya, kesatuan turut membantu kaum guru memahami peranan mereka dalam memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara (FPN) serta berusaha untuk meningkatkan imej dan martabat profesionalisme guru.
“Kita maklum ada akta-akta yang mengikat penjawat awam untuk bergerak aktif di bawah kesatuan sekerja, oleh itu perlu ada pengubahsuaian oleh pihak kerajaan berkaitan kesatuan sekerja dengan membenarkan guru-guru terus bergerak aktif dalam kesatuan.
“Sekiranya pihak kerajaan menghadkan guru yang di gred 48, maka secara automatik keahlian mereka terhenti dan akhirnya manfaat kebajikan daripada kesatuan akan terputus kerana guru akan terus naik pangkat atau gred perkhidmatan secara berterusan sehingga gred 54,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan (PPDT) Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) Kali ke-20/2022, di sini, hari ini.
Katanya, guru yang menyertai kesatuan guru pada awalnya telah maklum manfaat yang bakal mereka terima sehingga bersara, tetapi pemberhentian mereka disebab sekatan itu, segalanya manfaat yang bakal diterima akan terhapus.
“Mengapa seorang guru itu dilarang menjadi ahli ketika mereka melangkah ke gred 52 atau 54 sedangkan mereka masih lagi seorang guru yang menjalankan tugas guru di dalam bilik darjah dan di sekolah.
“Guru adalah pendidik dan tidak terlibat dengan dasar-dasar sebaliknya mereka pelaksanan dasar yang diterapkan oleh pihak atasan, malah tidak banyak perkara kerahsiaan,”katanya.
Katanya, diharap tiada sebarang sekatan terhadap guru kerana mereka akan terus naik pangkat dan gred dalam perkhidmatan dan terus menerus menjadi guru.
“Saya sedia maklum kesatuan guru sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang berkepentingan dalam pendidikan untuk menambah baik sesuatu dasar yang hendak dilaksanakan demi kebaikan semua.
“Tidak dinafikan kesatuan guru dan guru turut berkerjasama dengan KPM dalam membangunkan modal insan selain membentuk insan ke arah kemenjadian muridnya serta turut berkorban demi bangsa dan negara,” katanya.
Turut hadir, Setiuasaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Mustafa Kamal Husin, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Mohd Ariffin Abdul Rahman, dan Naib Yang Dipertua 1, Majlis Gabungan Guru Besar Malaysia, Marzilaini Mohd
Sementara itu, Presiden Kongres, Jasni Md Kechik bersetuju dengan saranan presiden Cuepacs agar KPM mengkaji semula akta yang melarang guru untuk terus bergerak aktif dalam kesatuan.
Katanya, bagi memastikan nasib guru terbela, menyeru KPM menyatakan garis panduan yang jelas berkaitan dengan penglibatan guru dalam kesatuan khususnya yang berada di gred tinggi.
“Diharapkan kajian melarang guru yang berada di gred 48 ke atas dipertimbangkan agar kesatuan guru terus releven dan bernyawa untuk terus menjaga kebajikan guru di samping menyokong penuh dasar KPM berjalan lancar,”katanya.-SAHIH.