Anggota bomba tanggalkan cincin besi di jari
Anggota bomba tanggalkan cincin besi di jari
LIPIS – Tidak tertahan sakit di jari yang membengkak disebabkan memakai cincin besi, seorang remaja, Muhammad Khairul Arffan Abdul Razak, 15, terpaksa mengharungi detik getir dengan pergi ke Balai Bomba Kuala Lipis minta ditanggalkan.
Mangsa hadir pada jam 11.30 pagi hari ini apabila berdepan kesukaran menanggalkan cincin besi di rumah dan mula mencederakan jari tangannya.
Remaja itu ditemani bapanya ke Balai Polis Kuala Lipis untuk mendapatkan bantuan anggota bomba menanggalkan cincin besi di jari tangan kanannya itu di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba Lipis, Haslizan Ramli berkata, anggota bomba dimaklumkan oleh penjaganya mengenai cincin besi itu sukar ditanggalkan di rumah serta memohon anggota bomba membantu anaknya.
“Jari mangsa juga membengkak kesan daripada cincin yang sukar ditanggalkan itu berikutan saiz jari yang menggenakan cincin itu membesar.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan cincin besi dalam tempoh kira-kira 20 minit dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Haslizan, kerja menanggalkan cincin besi dengan peralatan khas dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan jari tangan mangsa berkenaan.
Beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memastikan anak masing-masing tidak menjadikan cincin besi keras sebagai alat aksesori di jari tangan ataupun sebagai satu permainan di anggota badan yang kemungkinan sukar ditanggalkan dalam tempoh yang panjang.
Sementara itu, Muhammad Khairul Arffan berkata, dia mengenakan cincin besi sebagai hiasan di jari tangannya sejak beberapa minggu yang lalu, pada awalnya cincin itu boleh ditanggalkan.-SAHIH.